Najwan umum bertanding jawatan MPP PKR
Irwan Muhammad Zain
April 8, 2022 14:37 MYT
April 8, 2022 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Udangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Selain bertanding jawatan MPP, Mohd Najwan turut menawarkan diri sebagai calon Timbalan Ketua Cabang PKR Shah Alam.
Mohd Najwan yang sebelum ini mengetuai Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menjelaskan, pengalaman menerajui sayap PKR negeri membuatkan beliau menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.
"Justeru, setelah berbincang dan mendengar pandangan daripada rakan-rakan pimpinan, anggota serta penyokong di peringkat Cabang, Negeri dan Pusat, saya memutuskan untuk menawarkan khidmat dalam ikhtiar memperkukuh organisasi parti, memperkuat institusi Presiden serta menyusun gerak kerja Keadilan khususnya dalam menggembleng kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
"Untuk mencapai tujuan di atas, maka dengan penuh tawaduk dan rendah diri, saya mengesahkan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Keadilan Shah Alam dan calon Majlis Pimpinan Pusat dalam Pemilihan Keadilan 2022 pada tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Jelas beliau, antara usaha yang telah dilakukan adalah menambah keahlian PKR di Cabang Shah Alam yang kini mencecah lebih 11,000 anggota berbanding 9,000 pada 2018.
Mohd Najwan dalam masa sama berharap pemilihan Keadilan 2022 kali ini dilaksanakan dalam suasana penuh hemah serta mengangkat politik berasaskan nilai, idea dan khidmat kepada parti dan anggota.
Ahli-ahli PKR akan memilih enam jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti itu serta cabang.
Ia dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden, Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.
Bagi jawatan Naib Presiden antara nama calon yang dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil.
Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli pula mengesahkan bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Tempoh pengundian bagi kaedah fizikal dijadualkan bermula 13 hingga 17 Mei manakala undian dalam talian menggunakan aplikasi ADIL atau laman sesawang ADIL pula berlangsung pada 18 hingga 20 Mei depan.