Najib tolak pembentukan 'majlis orang lama'

Astro Awani
November 13, 2015 19:21 MYT
NAJIB: Sekiranya ada badan yang boleh mengawal seorang pemimpin yang dipilih, maka kita akan mula menyimpang daripada sistem demokrasi yang selama ini menjadi tunjang kepada keamanan dan pembangunan negara kita. -Gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menyifatkan pembentukan majlis khas bagi menyelia pemimpin sebagai tidak demokratik dan bercanggah dengan perlembagaan negara yang berpaksikan pada prinsip demokrasi.
"Sekiranya ada badan yang boleh mengawal seorang pemimpin yang dipilih, maka kita akan mula menyimpang daripada sistem demokrasi yang selama ini menjadi tunjang kepada keamanan dan pembangunan negara kita," tegas Najib dalam catatannya di blog NajibRazak.com.
Kata beliau, sebagai sebuah negara demokrasi, pemimpin dalam badan eksekutif dipilih melalui pemilihan parti dan pilihan raya umum.
Pemimpin ini memegang jawatan dalam kerajaan untuk memberi khidmat kepada rakyat dan negara dan bertanggungjawab atas mandat yang diberikan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat tanpa mengira kedudukan dan pangkat perlu menjunjung keluhuran perlembagaan.
"Sebagai pemimpin, saya bertanggungjawab mempertahankan Rukun Negara ketiga ini dengan segala bidang kuasa saya," tambah beliau.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan "majlis orang lama" bertujuan membimbing perdana menteri dalam menerajui kerajaan.
Dr Mahathir mendakwa sistem yang diamalkan membolehkan perdana menteri memilih mereka yang menyokongnya ke dalam kabinet.
Langkah itu menyebabkan beliau mudah mendapat persetujuan menteri-menteri.
#Dr Mahathir #Majlis Khas #majlis orang lama #menyelia pemimpin #najib
;