Najib tolak dakwaan mahu jadi PM sekali lagi

Isabelle Leong
Januari 24, 2019 17:21 MYT
NAJIB: Saya nak bantu sahaja pilihan raya ini atas permintaan rakyat.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan tujuan beliau turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah untuk ‘bangkit semula’ dalam dunia politik.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu tujuan beliau turun berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) Ramli Md Nor disebabkan permintaan penduduk setempat.
"Tidak. Saya nak bantu sahaja pilihan raya ini atas permintaan rakyat, masyarakat setempat. Dia (pemimpin PH) nak cakap itu, apa yang dia kisahkan?
"Saya tak kisah pun kat dia," kata Najib ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di Tanah Rata pada Khamis.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Rabu yang mengatakan PRK ini mustahak bagi Najib kerana ia menjadi kayu ukur penerimaan rakyat kepadanya.
Kit Siang juga mendakwa usaha Najib turun padang untuk berkempen adalah kerana beliau mungkin bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.
#Barisan Nasional #DAP #Lim Kit Siang #Najib Razak #Perdana Menteri #politik #PRK Cameron Highlands
;