Najib setia dengan UMNO jika satu hari selisih faham dengan pengganti

Rahimah Abdullah
Mei 12, 2016 22:04 MYT
NAJIB: UMNOlah parti saya, parti yang terlalu besar budi, jasa pada orang Melayu, rakyat Malaysia, keluarga saya, dan pada diri saya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
"Kalau takdirnya satu hari saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya tidak akan keluar UMNO," tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini kerana katanya ia berikutan parti keramat orang Melayu itulah yang paling banyak berbudi dan berjasa kepada negara dan rakyat.
"UMNOlah parti saya, parti yang terlalu besar budi, jasa pada orang Melayu, rakyat Malaysia, keluarga saya, dan pada diri saya. Saya tidak akan khianati parti UMNO hingga akhir hayat," katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Ulangtahun UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada asasnya kata Najib, semua anggota UMNO perlu bersatu, bersikap nasional, dan menanam semangat kesetiaan sepanjang hayat kepada parti itu.
"Setia pada parti dalam apa jua keadaan walaupun kita tidak bersetuju atau berbalah pendapat. Mana ada parti politik tidak berbalah, ada masalah dalaman parti," tegas Pengerusi Barisan Nasional itu.
Pada masa sama, semua anggota parti perlu menerapkan disiplin parti yang intipatinya terkandung kasih sayang dan cinta kepada UMNO.
Sehubungan itu katanya, beliau percaya dengan dasar dan metodologi dalam parti.
"Nafas yang bertiup dalam kita dan jadi darah daging kita, Insyaallah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun akan datang atau lebih dari itu," katanya lagi.
Tegas Najib, banyak cerita selama 70 tahun perjalanan dilalui parti itu yang tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Malaysia.
"Saya juga ucapkan selamat bekerja untuk dua pilihan raya kecil nanti.. Insyaallah kita akan berjaya.
"Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!" laung Najib mengakhiri ucapan.
#Najib Razak #UMNO 70 Tahun
;