Najib persoal tindakan beku akaun UMNO Pusat

Bernama
Jun 30, 2018 14:50 MYT
Najib menaikkan bendera UMNO ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, hari ini. - BERNAMA
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang membekukan beberapa akaun yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk akaun Ibu Pejabat UMNO Pusat dan UMNO negeri.
Bekas perdana menteri itu berkata, pihak berkuasa sepatutnya hanya membekukan akaun individu yang hendak disiasat dan bukannya menjadikan akaun parti sebagai 'sasaran'.
"Sebab apapun, UMNO tidak bersalah. Kalau individu yang bersalah, ambillah tindakan kepada orang yang berkenaan, jangan ambil tindakan kepada UMNO, jangan ambil tindakan kepada parti politik sebab parti politik ada ahlinya dan berfungsi dalam sistem demokrasi.
"Kita ada tanggungjawab kepada rakyat yang perlu dilaksanakan, bukannya kita wujudkan parti politik untuk suka ria, kita ada tugas yang berat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
BACA: Pilihlah pemimpin terbaik, tolong betulkan keadaan - Najib
Sementara itu, Najib yang mengekalkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan yang disandangnya sejak 1982 mengingatkan semua anggota dan pimpinan UMNO supaya berubah dan tidak lagi mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti pada kali ini.
"Kita jangan pilih kerana habuan, orang marah kita, kita menang di sini apa guna, menang sorak, kampung tergadai, orang di luar perhati sahaja bagaimana orang UMNO syok sendiri, kita buat program hanya sesama kita.
"Kalau ini sikapnya maknanya kita tidak lakukan proses perubahan UMNO. Hendak ubah UMNO bukan hanya ubah pemimpin, tetapi juga ubah sikap, nilai, pendekatan, perilaku kita dan segalanya supaya kita ini kembali rakyat.
"Mungkin Tuhan nak mengajar kita atas kelemahan yang dilakukan sebelum ini... kita insaf dan betulkan diri kita," katanya yang turut mengakui ada melakukan kesilapan apabila tidak melakukan perkara yang sepatutnya semasa menjadi pemimpin dahulu.
Najib berkata zaman untuk anggota dan pemimpin UMNO bermewah-mewah juga sudah berlalu dan mereka kena kembali asas perjungan UMNO yang mementingkan rakyat sebagai matlamat perjuangan parti dengan sedia berkorban dan bukannya melihat parti sebagai punca rezeki.
Katanya anggota UMNO perlu mencontohi parti Pakatan Harapan yang mampu mendekati dan meraih sokongan rakyat pada PRU14 yang lalu walaupun tanpa mengeluarkan belanja yang besar.
"Semasa PRU lalu, kita tewas kepada parti yang tidak mengeluarkan belanja yang banyak, pejabat bahagian pun entah di mana, pondok panasnya tutup yang paling awal, tetapi kita walaupun berpusu-pusu ke bangsal (semasa kempen), tetapi kalah.
"Kita apabila tak dapat duit merajuk, apabila bagi duit, dah dapat duit, kata belum dapat. Ada pulak calon tidak belanja dan sorok peruntukan, macam mana kita tidak kalah, jika kita ada sikap sebegini, maknanya kita sendirilah sebenarnya punca kekalahan parti.
"Ya... memang parti lawan serang kita dan buat pelbagai janji palsu, tetapi kita juga ada kelemahan dalaman. Walaupun saya terima tanggungjawab moral kekalahan ini dengan meletakkan jawatan, tetapi hakikatnya kelemahan dan kepincangan berlaku berlaku semua peringkat dalam parti.
"Saya yang menanggung, yang lain semuanya senyap sepi. Tetapi tak mengapalah, mereka tidak perlu letak jawatan, kalau semua letak jawatan, lumpuhlah parti kita. Jadi biar saya yang letak jawatan, orang lain tolonglah betulkan keadaan," katanya. -- Bernama
#akaun bank #Najib Razak #UMNO
;