Najib persoal mengapa akaun UMNO masih dibekukan
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 27, 2019 16:02 MYT
Julai 27, 2019 16:02 MYT
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih lagi membekukan akaun UMNO dan harta milik parti itu biarpun tiada bukti bahawa UMNO menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan PH sepatutnya memulangkan kembali akaun tersebut kepada UMNO selepas setahun siasatan dijalankan mereka masih gagal mengaitkan parti itu dengan 1MDB.
Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan itu sebagai 'kejam dan sangat tidak adil' kerana di negara lain, pembangkang dibenarkan untuk menggerakkan aktiviti mereka.
'Mereka masih lagi membeku akaun dan harta juga hendak disita. Sepatutnya lepas setahun, bila tak ada apa-apa kes, mereka patut pulangkan balik, ini satu tindakan yang kejam," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Bahagian Bukit Gelugor, di Bayan Baru pada Sabtu.
Dalam pada itu, Najib berkata beliau turut kesal dengan tindakan pihak terbabit yang seolah-olah cuba 'mengikat' tangan dan kaki agar UMNO tidak dapat bergerak bebas serta membantu rakyat.
Pada 29 Jun 2018, Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan bahawa sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB telah dibekukan.
Pasukan Petugas Khas 1MDB itu menyatakan bahawa akaun milik persatuan dan syarikat yang terlibat dalam siasatan kes berkenaan juga dibekukan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Najib mengingatkan semua ahli UMNO khususnya Wanita UMNO agar terus bersemangat dan meneruskan perjuangan bagi memastikan UMNO dapat memenangi semula kerusi pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#bekas presiden UMNO
#beku akaun umno
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional
#UMNO