Najib perlu respon kritikan Mahathir - Exco Pemuda UMNO
Astro Awani
April 4, 2015 11:30 MYT
April 4, 2015 11:30 MYT
Kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blognya merupakan pandangan seorang mencintai parti mengatasi segalanya, kata exco Pemuda Umno, Ibdillah Ishak.
Katanya, anak muda Malaysia peka dengan masalah negara seperti isu melibatkan dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mungkin Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
"Walaupun sebahagian itu fitnah, anak muda dalam UMNO akan terus pertahankan parti keramat ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, Najib selau presiden UMNO dan perdana menteri tidak wajar untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
"Anak muda Malaysia mahukan respon yang tuntas dari Perdana Menteri Datuk Sri Najib sendiri.
"Generasi muda hari ini masih anggap Tun Mahathir sebagai hero negara kerana ramai diantara mereka yang lahir ketika era Tun Mahathir memerintah Malaysia.
"Mereka lihat Malaysia membangun di era itu. Tidak dinafikan, beliau adalah seorang negarawan yang ulung," katanya lagi.
Ibdillah berkata, anak muda Malaysia melihat UMNO mahu melihat perubahan berlaku dalam UMNO bermula dari pemimpin peringkat cawangan hingga ke peringkat lebih tinggi.
"Peremajaan parti haruslah disegerakan," katanya.
Najib, kata Ibdillah, seorang pemimpin yang inklusif dalam mentadbir Malaysia dan bersikap terbuka serta boleh menerima kritikan dari siapa sahaja
"Namun, anak muda Malaysia mahu lihat respons YAB PM kepada segala fitnah jahat pihak lawan. Mungkin sudah tiba masanya," jelas beliau.
Khamis lalu, Tun Dr Mahahir menerusi blognya membuat kritikan paling keras terhadap Najib dan menegaskan UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam PRU14 jika Najib masih menerajui parti tu.
Turut berpandangan sama ialah veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang berkata sudah tiba untuk kebenaran didedahkan berkenaan skandal dan isu yang menyelubungi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.