Najib perlu beri pandangan positif kepada kerajaan, bersama tarik pelabur - Shahidan Kassim

Fareez Azman
April 18, 2021 22:04 MYT
Shahidan berkata, sekarang bukan masa terbaik buat semua pemimpin politik memberi tekanan kepada kerajaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberi pandangan positif kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi meningkatkan ekonomi negara.
Demikian kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim susulan kritikan Ahli Parlimen Pekan itu terhadap kerajaan PN yang didakwa gagal mengurus ekonomi dan COVID-19.
Ujarnya, jika pandangan negatif terus diberikan, ia akan memberi kesan kepada pelabur untuk melabur ke negara ini sekali gus memberi kesan kepada rakyat.
"Itu pandangan (Najib) bahawa (kerajaan PN) tidak urus COVID-19 dengan baik, pada pandangan saya kerajaan dah buat baik dari semasa ke semasa.
"Punca masalah ekonomi, kalau semua 'bantai' kerajaan, pelabur pun tidak berani nak masuk (melabur). Dulu PH (Pakatan Harapan) gagal tangani ekonomi, sekarang kita urus COVID-19 dan ekonomi," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
Tambah Shahidan, rakyat perlu diberi pembelaan sewajarnya, namun ia memerlukan kestabilan politik demi memulihkan ekonomi negara.
"Saya minta Datuk Seri Mohd Najib beri pandangan positif kepada kerajaan dan mengambil daya usaha bersama tarik pelabur.
"Dia bekas Perdana Menteri, hubungan dia baik dengan pelabur luar negara. Kalau kita nak ganti kerajaan baharu, kerajaan mana yang hebat boleh ganti dengan kerajaan ini,?" katanya lagi.
Justeru jelas Shahidan lagi, sekarang bukan masa terbaik buat semua pemimpin politik memberi tekanan kepada kerajaan, sebaliknya mereka perlu membantu kerajaan dalam menangani dua isu utama itu.
Terdahulu, Najib dalam satu kenyataan mempersoalkan mengapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam kerajaan PN yang dikritik gagal menguruskan ekonomi dan COVID-19.
#Shahidan Kassim #Najib Razak #kritik kerajaan #PN #tarik pelabur #bukan masa kritik kerajaan #ekonomi negara
;