Najib pengerusi mesyuarat MT UMNO, dijangka bincang isu Muhyiddin
Wan Syamsul Amly, Hilal Azmi
Februari 26, 2016 16:14 MYT
Februari 26, 2016 16:14 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn.
Mesyuarat yang bermula pada kira-kira pukul 4 petang itu dijangka membincangkan isu utama kedudukan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan akan dilucutkan selepas mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap kepimpinan tertinggi parti.
Bagaimanapun kelibat Muhyiddin dan naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal masih belum kelihatan. Difahamkan, Muhyiddin kini berada di luar negara.
Sidang media pula dijangka bermula pada pukul 6.30 petang.
Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menasihati Muhyiddin supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap kepimpinan tertinggi parti, sebaliknya menunggu keputusan hasil mesyuarat MT hari ini.
Nasihat yang disuarakan Mohamed Nazri adalah berhubung kenyataan Muhyiddin terhadap Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar tidak mengambil tindakan ke atasnya melainkan mempunyai bukti yang cukup.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan buku 'Najib Razak Kembara Politik - 40 Tahun' di lobi menara Dato Onn.
Buku terbitan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia tersebut memaparkan kisah suka duka Najib sebagai ahli politik selama 40 tahun yang bermula sebagai Ahli Parlimen Pekan pada 21 Februari 1976.