Najib jumpa Sultan Mizan bincang krisis kepimpinan negeri Terengganu
Harits Asyraf Hasnan
April 25, 2016 13:55 MYT
April 25, 2016 13:55 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat berhubung krisis kepimpinan yang berlaku di negeri itu.
Justeru, Perdana Menteri berharap tidak ada mana-mana pihak yang membuat spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.
“Selepas majlis menghadap itu saya akan keluarkan kenyataan. Saya berharap kita tidak akan membuat spekulasi yang bukan-bukan.
“Kerajaan Terengganu akan berjalan seperti biasa. Apa-apa perkembangannya akan saya maklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai penarikan balik darjah kebesaran termasuk ‘Datuk Seri’ oleh pihak istana kepada Ahmad Razif.
Tiga majlis yang dihadiri Ahmad Razif pada Sabtu dan Ahad hanya menyebut beliau sebagai Menteri Besar tanpa menyebut nama atau gelarannya.
Pihak media bagaimanapun tidak menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung penarikan balik darjah kebesaran itu.
Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 serta Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.
Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.