Najib jawab komen 'kereta antik'
Arfa Yunus, Firdaus Azil
Februari 20, 2019 14:08 MYT
Februari 20, 2019 14:08 MYT
"Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih adalah mengenai rakyat, bukan saya," kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian susulan kenyataan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Khas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu R Suresh Kumar.
Suresh dalam kenyataan pada Selasa menyifatkan Najib “umpama kereta antik, orang suka tengok tapi tak beli”.
Manakala Azmin pula pada Isnin berseloroh dan menyuruh Najib membawa "seseorang" menaiki motosikal bersamanya apabila turun berkempen.
Biarpun tidak menyebut sebarang nama, Azmin dipercayai merujuk kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang lama tidak membuat kemunculan di acara awam.
Namun Najib persoalkan keperluan untuk segelintir ahli politik Pakatan Harapan membuat serangan peribadi terhadapnya.
“Tak perlu untuk saya menjawab pada orang yang minda sempit macam ini. Kita kena berjuang untuk rakyat dan isu-isu yang melibatkan rakyat.
“Ini semua perkara remeh dan mereka menggunakan isu peribadi. Pilihan Raya ini bukan tentang saya tetapi tentang rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita ketika turun berkempen untuk calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, di sini, pada Rabu.
PRK Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zakaria dan Muhammad Aiman Zainali dari Pakatan Harapan.
Dua lagi calon adalah dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) iaitu Nik Aziz Afiq Abdul dan aktivis sosial Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang' bertanding atas tiket BEBAS.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
#Anwar Ibrahim
#kereta antik
#Mohamed Azmin Ali
#motosikal
#Najib Razak
#PRK Semenyih
#R Suresh Kumar
#Rosmah Mansor