Najib hadiri majlis Tahlil sempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO
Bernama
Mei 12, 2016 21:11 MYT
Mei 12, 2016 21:11 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO menghadiri majlis bacaan Yasin dan Tahlil bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO, malam ini.
Majlis yang diadakan di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu turut dihadiri timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin dan anggota UMNO.
Majlis bacaan Yasin dan Tahlil yang diadakan selepas solat Maghrib itu dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang merupakan anggota Majlis Tertinggi UMNO.
Bacaan Yasin dan Tahlil diadakan bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu serta perjuangan UMNO, selain mengingati mangsa nahas helikopter membabitkan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon pada 5 Mei lalu.
Selepas solat Isyak, Najib serta pemimpin dan anggota UMNO beredar ke Dewan Merdeka di PWTC untuk menghadiri acara seterusnya iaitu upacara menaikkan bendera parti UMNO diikuti dengan nyanyian lagu parti "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat."
Acara itu yang turut dihadiri pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) disusuli dengan acara memotong pulut kuning oleh Najib.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sambutan yang sepatutnya diadakan pada 11 Mei (Rabu) dipinda kepada Khamis bagi memberi laluan kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Majlis Santapan Malam Sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.