'Najib hadapi risiko jika pemilihan UMNO 2016 ditangguh' - Sanusi Junid

Wan Syamsul Amly
Mei 28, 2015 17:01 MYT
SANUSI: 'Najib hadapi risiko jika pemilihan UMNO 2016 ditangguh' - Gambar fail
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan bakal berdepan risiko besar seandainya desas-desus pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 ditangguh sehingga selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menjadi kenyataan.
Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, situasi semasa kini membawa pelbagai kemungkinan termasuk perubahan tampuk nombor satu parti sendiri.
"Najib akan dilihat mempunyai sebab tersendiri jika menangguhkan pemilihan UMNO tahun hadapan. Namun dia akan berdepan risiko besar jika benar menangguhkannya.
"Dia mungkin sedang mengalami tekanan hebat daripada pelbagai isu semasa yang sedang melanda, dia juga mungkin trauma dengan situasi yang berlaku sekarang" katanya ketika ditemui di sini hari ini.
BACA: Jangan tangguh pemilihan UMNO 2016, kata Muhyiddin
Najib akan dilihat mempunyai sebab tersendiri jika menangguhkan pemilihan UMNO tahun hadapan. Namun dia akan berdepan risiko besar jika benar menangguhkannya
Muhyiddin pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 mencadangkan supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Muhyiddin juga mencadangkan Perlembagaan UMNO dipinda pada tahun ini untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti.
Desas-desus penangguhan pemilihan parti mula tersebar di sistem pesanan WhatsApp selain dikatakan sudah mula dibincangkan oleh beberapa wakil UMNO bahagian.
BACA: Nasib Najib bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO - Rahim
Sebelum ini, veteran UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang diadakan pada hujung tahun ini bakal menjadi penentu tempoh Najib kekal menjadi presiden parti sekali gus perdana menteri sehingga PRU ke-14 atau sebaliknya.
BACA: 'Saya tegur sebab Najib banyak buat silap' - Tun M
Dalam pada itu kata Sanusi, Najib perlu merencanakan semula kedudukannya di dalam parti selain mendengar hasrat akar umbi yang mahu melihat perubahan kepimpinan UMNO direalisasikan.
BACA: Najib persoal motif Tun Mahathir
"Ramai wakil akar umbi yang mahu melihat perubahan dalam parti selepas banyak pendedahan menganai syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.
"Jadi Najib harus mula berfikir mengenai kedudukannya selepas tekanan yang diterima," ujarnya.
BACA: 1MDB: 'Tun M punca Najib alami tekanan luar biasa' - Wan Junaidi
Sebelum ini Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata,
Dr Mahathir dilihat menjadi punca utama Najib mengalami tekanan luar biasa dalam isu melibatkan kemelut 1MDB akhir-akhir ini.
Kata Dr Wan Junaidi, tekanan itu juga disifatkan semakin berat dengan sikap beberapa ahli UMNO yang tidak bertanggungjawab dan tidak tampil untuk memberi sokongan kepada Najib.
BACA: 'Mengarutlah suruh orang berhenti bercakap tentang 1MDB' - Tun M
Sanusi pernah keluar daripada UMNO pada 2008 bersama Dr. Mahathir kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebelum itu, Sanusi pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1986.
Pada tahun tersebut, Sanusi juga dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.
#najib #Pemilihan UMNO #PRU #sanusi
;