Najib dipenjara: Struktur semula UMNO untuk kekal relevan - Penganalisis
Hilmi Malik
Ogos 24, 2022 17:31 MYT
Ogos 24, 2022 17:31 MYT
KUALA LUMPUR : Sudah tiba masanya buat UMNO untuk melakukan penstrukturan semula parti itu susulan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menolak rayuan akhir beliau selepas didapati bersalah menyeleweng dana milik SRC International Sdn Bhd.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian berkata, langkah itu harus dilaksanakan bagi memastikan parti itu kekal relevan buat generasi akan datang.
Ujarnya lagi, UMNO juga perlu mengambil kira soal persekitaran politik ketika ini yang dilihat sudah banyak berbeza jika dibandingkan pada zaman pemerintahan parti itu satu ketika dahulu.
“UMNO harus melakukan sesuatu dan memerlukan kepimpinan yang berwibawa selain mempunyai reputasi yang seiring dengan perubahan ketika ini.
“Parti tidak boleh lagi terikat dengan pemikiran jumud dan konvensional dan apa yang diperlukan adalah memantapkan parti itu (UMNO) ke arah masa depan yang lebih baik khususnya menjelang PRU15,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berpendapat, penstrukturan semula parti juga boleh dibuat berdasarkan kepimpinan yang ada.
Mengambil contoh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan yang katanya telah mengetuai jentera pilihan raya sebelum ini.
Bercakap mengenai kelompok yang disifatkan sebagai 'kluster mahkamah', beliau berpendapat keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap parti dari segi membina kepercayaan bagaimanapun ia bergantung sejauh mana persepsi awam terhadap kes yang masih sedang berjalan.
Sekiranya individu yang masih terpalit dengan perbicaraan mahkamah mampu membuktikan ia sekadar taktik untuk membunuh karier politik maka keadaan itu dilihat tidak terlalu membawa kesan terutamanya dalam kalangan pengundi.
“Jika UMNO terus terpalit dengan isu yang berterusan maka ia berkemungkinan mampu mempengaruhi mentaliti rakyat untuk tidak keluar mengundi atau kembali kepada keadaan pada PRU yang lalu.
“Ini juga bergantung kepada persiapan jentera parti untuk paparkan agenda dan naratif baru untuk pulihkan imej parti yang juga digunakan oleh pesaing politik,” katanya lagi.
Pada Selasa Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Najib bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International.