Najib dan Zahid langgar perjanjian - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Julai 14, 2022 17:39 MYT
Mohamed Nazri mendedahkan perjanjian itu turut dipersetujui oleh Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua pemimpin UMNO yang berdepan kes Mahkamah telah melanggar perjanjian yang dibuat pada 2009 yang meletakkan syarat mana-mana pemimpin parti yang dihadap ke Mahkamah perlu mengundur diri, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Bercakap dalam satu forum di Yusof Ishak Institute, Mohamed Nazri mendedahkan perjanjian itu turut dipersetujui oleh Datuk Seri Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Sekarang, mereka menguasai parti dan bukan mengotakan janji yang telah dibuat," katanya.
Najib kini dalam proses terakhir untuk merayu keputusan yang dibuat oleh dua Mahkamah sebelum ini yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Manakala Ahmad Zahid pula kini dalam proses membela diri atas 47 pertuduhan yang disabitkan keatasnya melibatkan pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi.
Diminta mengulas tentang usaha meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH), Mohamed Nazri menjelaskan masalah yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tentangan dalaman UMNO dan bukan pihak lain.
"Yang menentang MoU ini bukan pembangkang tetapi sebaliknya dari parti kami sendiri, mereka di dalam UMNO.
"Saya bimbang dengan UMNO. Saya tidak bimbang tentang Pas atau Bersatu. UMNO merupakan musuh terbesar kita pada masa ini," katanya lagi.
Mohamed Nazri juga mendakwa pihak-pihak tertentu yang mahu MoU ditamatkan dan mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan kerana mempunyai kepentingan peribadi.
"Perkara ini datang dari parti saya sendiri, kenapa? Ini kerana kepentingan peribadi, nak mengelak kes mahkamah.
"Apa yang akan berlaku kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah? Ini memalukan dan tidak masuk akal," katanya.
Beliau juga menjelaskan UMNO tidak sepatutnya ghairah mendesak apa yang mereka kehendaki kerana parti itu bukan lagi mendominasi kerajaan.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #Yusof Ishak Institute #Najib Razak #Ahmad Zahid Hamidi
;