Najib bertemu ahli Parlimen BN: Amalan biasa, tiada perkara luar biasa dibincangkan
Harits Asyraf Hasnan
Mac 5, 2016 23:03 MYT
Mac 5, 2016 23:03 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.
Menurut sumber Astro AWANI, pertemuan tersebut adalah amalan biasa yang dilakukan Najib sebelum sidang Parlimen bermula.
"Ia amalan biasa yang dilakukan sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.
"Tiada apa yang luar biasa dibincangkan, taklimat biasa sahaja," kata ahli Parlimen BN yang enggan namanya disebut.
Seorang lagi sumber yang juga merupakan ahli Parlimen BN berkata, pertemuan tersebut bermula kira-kira pukul 8.30 malam dan berakhir sebelum pukul 10 malam.
"Taklimat Presiden mula lebih kurang pukul 8.30 malam. Tidak lama, hanya dalam 10 minit sahaja.
"Majlis tidak sampai satu jam pun. Lepas taklimat ada majlis jamuan. Itu sahaja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen bagi Penggal Keempat Isnin ini.
Tuanku Abdul Halim, yang akan tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Disember ini, dijadual menyampaikan titah ucapan diraja bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Titah ucapan baginda itu akan dibahaskan oleh anggota kedua-dua dewan bermula dengan Dewan Rakyat pada Selasa ini.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari sehingga 7 April depan, dan Dewan Negara yang turut bersama pada perasmian Parlimen akan bermula pada 18 April dan berakhir pada 4 Mei, iaitu selama 11 hari.