Naikkan tambang sekarang, apa motif SPAD? - Ibdilillah Ishak
Mariah Ahmad
Mac 21, 2015 11:56 MYT
Mac 21, 2015 11:56 MYT
Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak pada Jumaat mempersoal apakah alasan di sebalik tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mengumumkan untuk menaikkan harga tambang pengangkutan bas dan teksi baru-baru ini.
Beliau berkata sebagai badan kerajaan, SPAD tidak patut membuat pengumuman demikian pada saat kerajaan kini dikritik hebat dalam beberapa isu seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kalau kita lihat alasan yang diberi Tan Sri Syed Hamid Albar (Pengerusi SPAD) tentang kenaikan ini, adalah sangat lemah. Alasan mereka, kos sudah meningkat dan kenaikan yang terakhir adalah pada tahun 2009.
“Soalnya kos apa yang meningkat sejak tahun lalu? Harga petrol masih rendah, harga NGV masih rendah, jadi kos apa sebenarnya yang meningkat?
“Apa motif SPAD? Jika alasan mereka untuk meningkatkan taraf hidup pemandu teksi dan bas, ia boleh diterima akal lagi walaupun waktu pengumuman masih boleh dipertikaikan," ujar beliau apabila dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Namun begitu Ibdilillah berkata SPAD perlu menjamin kualiti perkhidmatan dan keselamatan yang lebih baik seiring dengan kenaikan kadar tambang.
Dalam pada itu, Ibdilillah juga mengulas mengenai kenyataan Tokoh Wartawan Kebangsaan Datuk A Kadir Jasin dalam satu blognya semalam yang meminta Pemuda UMNO lebih lantang dalam menyuarakan pandangan dan bertindak untuk kebaikan rakyat berbanding membodek mana-mana pihak.
“Pemuda UMNO sebelum ini juga lantang dalam menyuarakan isu-isu rakyat. Kami beri tekanan dan memberi penyelesaian. Kami tidak membodek sesiapa. Baru-baru ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) menurunkan kadar tarif elektrik. Itu perjuangan siapa? Itu perjuangan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin.
“Pemuda UMNO adalah barisan yang progesif dan mengamalkan Politik Khidmat Bakti. Saya membuat pendirian yang jelas. Kami akan terus berkhidmat untuk belia tanpa mengira bangsa dan agama. Saya di sini bukan berkhidmat hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk keluarga Malaysia,” ujar beliau.