Naib Ketua Pemuda Gerakan jangan biadab dengan UMNO - Syed Ali
Astro Awani
Disember 18, 2016 16:27 MYT
Disember 18, 2016 16:27 MYT
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong yang berpendapat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kedudukan orang Melayu perlu dipertimbangkan semula.
Tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu, pandangan Yong terlalu biadab dan mencabar UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Tindakan Yong yang turut mempertikaikan penilaian secara meritokrasi membabitkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera sebagai tidak wajar.
"Dia membuat saranan itu secara terbuka, jelas melanggar semangat setiakawan dan kesepakatan yang dimeterai di kalangan komponen BN," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Syed Ali mendakwa, Naib Ketua Pemuda Gerakan itu sengaja meniupkan sentimen perkauman dan berbau hasutan.
"Ini tidak bagus, sudah tentu dia berniat jahat apabila mempertikaikan Perkara 153 yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di mana hak dan kedudukan orang Melayu tidak perlu dipertikaikan.
"Presiden Gerakan perlu memberi 'tunjuk ajar' kepada Yong supaya lebih beretika dan memahami status orang Melayu di negara ini," jelasnya.
Yong dalam kenyataannya seperti disiarkan sebuah portal mendakwa Perkara 153 perlu dipertimbangkan semula sejajar dengan kedudukan orang Melayu masa kini.
Yong juga mahu penilaian meritokrasi dan bantuan kepada orang Melayu selama ini perlu dikaji semula kerana peruntukan itu sudah tidak lagi relevan.
Menurut Syed Ali lagi, tindakan sekutu BN itu seolah-olah mencabar artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini diguna pakai dan dihormati oleh rakyat negara ini termasuk bukan Melayu.
"Sebagai Ketua UMNO Bahagian Cheras, kenyataan itu amat berbahaya yang seolah-olah berbau hasutan supaya berlaku ketegangan antara orang Melayu dengan bukan Melayu.
"Yong perlu menarik balik kenyataan tersebut kerana secara tidak langsung ia seperti mencabar pendirian dan prinsip UMNO.
"UMNO yang selama ini mempertahankan kedudukan dan hak orang Melayu dan kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan itu benar-benar mencabar kita (UMNO)," tegasnya.