MyPPP akan tampil calon disukai dan mendapat sokongan akar umbi - M.Kayveas
Bernama
Mei 13, 2017 19:31 MYT
Mei 13, 2017 19:31 MYT
MyPPP akan menampilkan calon yang disukai dan mendapat sokongan rakyat dan berpeluang meraih kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.
Presidennya Tan Sri M.Kayveas berkata pihaknya akan memastikan calon yang akan dikemukakan itu hanya mereka yang benar-benar mendapat restu di peringkat akar umbi.
“Kami akan mengetengahkan calon yang boleh menang dan mahu mendengar suara dan harapan khususnya golongan muda dan berkhidmat untuk rakyat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada PRU14 nanti,” katanya.
Kayveas yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan bercakap kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa dan Pendidik Pusat Anak Permata Negara (Permata) di Tanah Rata di sini, hari ini.
Katanya MyPPP telah mengenal pasti kawasan yang ingin ditandingi pada PRU14 antaranya Cameron Highlands, Buntong, Perak; Kota Alam Shah dan Kepong (Selangor); Guchil (Kelantan) dan Kota Laksamana (Melaka).
Dalam pada itu, beliau berkata parti pembangkang hanya memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata dan bukan untuk masa depan rakyat dan negara.
-- BERNAMA