Musuh UMNO bukan sesama ahli parti - Syed Ali

Astro Awani
Oktober 24, 2016 18:56 MYT
Musuh sebenar UMNO adalah pembangkang dan bukannya bercakaran atau bertikam lidah sesama ahli parti.
Musuh sebenar UMNO adalah pembangkang dan bukannya bercakaran atau bertikam lidah sesama ahli parti.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, percakaran yang tidak dapat dikawal hanya akan menyerlahkan kelemahan yang ada di dalam parti.
"Saya kesal kerana sejak kebelakangan ini ada ahli UMNO yang bergaduh sesama sendiri menerusi laman-laman sosial sehingga boleh menjejaskan nama baik parti.
"Saban hari menerusi laman-laman sosial, kita dapati berlaku kecam-mengecam sesama ahli UMNO dan ini semua pada hemat saya amat memalukan," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Jelasnya, imej UMNO akan tercalar dan ianya akan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengeksploitasikan kelemahan tersebut
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan khuatir, kelemahan itu akhirnya akan dipergunakan pembangkang untuk menyerang balik UMNO menggunakan isu atau perselisihan yang berlaku dalam parti.
"Ahli-ahli parti boleh mengeluarkan pandangan atau berlaku perbezaan pandangan atau prinsip tetapi tidak bermakna nama baik parti boleh diketepikan.
"Perselisihan boleh dileraikan secara musyawarah dengan mengambil kira kepentingan parti, bukannya menggunakan saluran laman sosial untuk melepaskan kemarahan atau membuka aib seseorang," tegasnya.
Ujar beliau, UMNO hanya akan menanggung kerugian dan keyakinan rakyat terhadap parti dan kerajaan pula dikhuatiri akan mula terhakis .
"Ahli-ahli parti termasuk pemimpin di semua peringkat perlu berganding bahu untuk mengumpulkan segala kekuatan bagi menghadapi asakan pihak pembangkang.
"Saya percaya, ahli dan pemimpin UMNO ada kelebihan, mereka ada kebolehan dan kepakaran masing-masing. Ini amat bagus jika disatukan untuk menentang pihak musuh," kata Syed Ali.
Tegasnya, ahli-ahli UMNO perlu berganding bahu untuk berdepan dengan kemelut politik yang dicetuskan pembangkang dalam usaha mereka menumbangkan parti.
"UMNO selaku institusi parti politik orang Melayu dan kedudukan kepimpinan parti perlu dipertahankan.
"Parti dan pemimpinnya perlu kita pertahankan kerana itulah asas kepada perjuangan," tegasnya.
Oleh sebab itu katanya yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) Negeri, pergaduhan sesama ahli parti menerusi laman-laman sosial hanya akan mendedahkan kelemahan parti.
"Paling malang, nama baik UMNO boleh jadi rosak akibat perbuatan segelintir orang yang suka bergaduh dan memaki-hamun sesama sendiri.
"UMNO memerlukan kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Untuk meraih kemenangan lebih cemerlang, semua pihak dalam parti hendaklah menumpukan perhatian kepada kepentingan parti dan bukannya mementingkan agenda peribadi," jelasnya.
Menurutnya, UMNO dan BN memerlukan kememangan melebihi majoriti dua per tiga tetapi ia bukan tugas yang mudah.
"Semua pihak dalam parti perlu bertanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan perselisihan atau konflik peribadi.
"Janganlah sesama kita hendak bergaduh dan tuduh-menuduh antara satu sama lain, yang ruginya UMNO, bukan pembangkang.
"Apabila sesama kita asyik bertelagah atas beberapa isu yang dianggap kecil dan tidak relevan tetapi diperbesarkan, perlakuan kita akan dicemuh rakyat," ujarnya.
Menurut Syed Ali lagi, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan jalan penyelesaian akan menjadi rumit untuk dirungkai jika masing-masing dirasuk oleh emosi dan dendam.
"Semua pemimpin ada kelemahan, malah akan ada orang cemburu, dengki atau sakit hati terhadap seseorang pemimpin.
"Saya sendiri turut menjadi mangsa kecaman dan perbuatan sakit hati oleh sesetengah pihak. Biasalah dalam politik, ada orang suka dan ada yang tidak suka. Saya sendiri pun ada yang tidak berkenan, tetapi saya tetap buat kerja untuk parti dengan ikhlas dan bertanggungjawab.
"Biarlah, tetapi kita perlu kawal emosi dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau menyinggung orang lain," katanya.
Tambahnya, sebagai Ketua Bahagian, yang paling penting ialah melakukan tanggungjawab yang diamanahkan untuk kepentingan UMNO sambil mendokong kepercayaan ahli-ahli parti.
#Cheras #pembangkang #PRU #Syed Ali #UMNO
;