Mustapa Mohamed sertai Bersatu
Astro Awani
Oktober 26, 2018 23:37 MYT
Oktober 26, 2018 23:37 MYT
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas keluar dari UMNO pada 18 September lalu.
Beliau telah menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Bersatu, yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, malam ini.
Ia turut disaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertinggi parti.
Mustapa turut menerima kad keanggotaan parti daripada Dr Mahathir.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusannya untuk menjadi anggota Bersatu dibuat setelah melakukan penelitian selama beberapa minggu sebagai Anggota Parlimen Bebas dan perkembangan politik semasa.
Katanya, wadah perjuangan Bersatu dilihat mampu untuk memberinya peranan lebih besar dalam membela kepentingan kawasannya di Jeli khususnya, dan Kelantan secara amnya.
"Saya ingin rakam ucapan terima kasih kepada Dr Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin dan saf kepimpinan Bersatu kerana terima kemasukan saya dalam parti," katanya.
Beliau juga berharap dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Bumiputera dan pelan ekonomi yang lebih inklusif.
Mustapa mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.
Kata beliau, keputusan itu dibuat setelah melakukan pemerhatian tentang landskap politik Malaysia, hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta masa depan negara.
Keputusan itu sekali gus melucutkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan menjadi Ahli Parlimen bebas.