Mustahil saya, Azmin keluar Bersatu - Mohd Rashid

Bernama
Jun 19, 2022 11:54 MYT
MOHD RASHID: Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon menafikan dakwaan akan meninggalkan Bersatu.
Mohd Rashid dalam dalam kenyataan hari ini menyifatkan dakwaan dirinya dan ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan keluar daripada Bersatu sebagai mustahil dan usaha untuk melemahkan parti.
Jelas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, beliau yakin dengan masa depan Bersatu dan akan terus menyokong parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu. Serangan berita palsu seperti ini jelas menunjukkan ada pihak tertentu ketandusan isu cuba untuk memberikan tekanan dengan memberi persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu," katanya.
Sebelum ini, Mohd Rashid dan Mohamed Azmin terpalit dengan dakwaan akan meninggalkan Bersatu selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lepas dan kemudiannya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Azmin turut dilaporkan berkata akan kekal bersama parti itu kerana idealisme dan perjuangan Bersatu adalah jati dirinya.
-- BERNAMA
#Mohd Rashid Hasnon #keluar Bersatu #Azmin Ali
;