Mustahil PKR berpisah dengan PH untuk bersama UMNO - Nik Nazmi
Astro Awani
Oktober 19, 2022 21:18 MYT
Oktober 19, 2022 21:18 MYT
KUALA LUMPUR: Jajaran baharu melibatkan PKR dan UMNO pernah dibangkitkan sebelum ini dan baru-baru ini, khabar angin sama dibangkitkan sekali lagi ketika Malaysia menghampiri tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Begitupun, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dakwaan itu agak mustahil kerana matlamat Pakatan Harapan (PH) adalah untuk memenangi PRU15 dengan rakan komponen sendiri.
Tambahnya, PKR dilihat mustahil meninggalkan rakan komponen seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bersama dengan UMNO.
“PH bergerak solid dalam pasukan kami. Tiada perbincangan dengan UMNO. Kami masuk PRU untuk menang sebagai PH.
“Ya, (mustahil untuk PKR meninggalkan pasukan bersama DAP dan Amanah dalam PH),” katanya memetik laporan Utusan Malaysia Online.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga seolah-olah memberi bayangan bahawa gabungan PH tetap kukuh dan akan terus memberi tumpuan kepada rakyat.
“Saya katakan sebelum ini, yang disebut ialah rundingan khas (antara PKR dan UMNO), itu termanya.
“Pada saya janganlah lemparkan dakwaan sebegini (PKR bersama UMNO) kerana penting untuk kita mengabsahkan kedudukan dan juga perbincangan, kepercayaan antara satu sama lain antara PH,” katanya kepada Astro AWANI.
Ketika ditanya adakah parti komponen dalam PH akan terus bersama menghadapi PRU15, Nurul Izzah menegaskan PH akan mengutamakan agenda rakyat.
“Maksudnya kita ada konvensyen esok di Perak, maka kita faham dalam politik ini, kita harus mengutamakan agenda rakyat tapi kurang-kurang kita berbincanglah dalam koalisi,” ujarnya.
Khabar angin berkaitan jajaran baharu itu kembali hangat diperkatakan terutamanya selepas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa ada perbincangan sulit antara kedua-dua parti itu.
Menurutnya, perbincangan itu melibatkan kedua-dua presiden iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Begitupun, Nurul Izzah sebelum ini menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia hanya sekadar khabar angin menjelang pilihan raya.