Musa Aman bukan tak mahu angkat sumpah tapi masih jalani rawatan - Peguam
Fifi Harteeny Marzuki
Ogos 9, 2018 06:42 MYT
Ogos 9, 2018 06:42 MYT
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman membuat permohonan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Syed Abbas Syed Ali supaya melanjutkan tempoh angkat sumpah beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berikutan masalah kesihatan dialaminya sekarang.
Musa yang diwakilkan oleh peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad dalam kenyataan medianya pada Khamis berkata, surat permohonan itu yang disertakan dengan butiran kesihatan beliau telah diserahkan kepada Syed Abbas pada 30 Julai lalu.
Dalam kenyataan berkenaan, doktor terlibat merawat Musa memaklumkan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu masih perlu meneruskan rawatan susulan dan tidak dibenarkan melakukan perjalanan yang jauh.
"Musa kini sedang menunggu beberapa laporan perubatan serta diagnosisnya untuk pengesahan dan maklumat kesihatannya sebelum dibenarkan menaiki penerbangan balik ke Sabah.
"Doktor beliau juga akan menentukan terlebih dahulu apakah jenis rawatan kesihatan yang perlu diambil pada masa depan jika beliau kembali ke negeri ini," katanya.
Tengku Fuad dalam kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut jenis masalah kesihatan dialami Musa selain kedudukannya terkini setakat ini.
Untuk rekod, sejak memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga pada 10 Mei lalu, Musa telah diberikan tempoh selama tiga bulan sehingga 11 September bagi sesi mengangkat sumpah.
Jika Musa gagal berbuat demikian di hadapan Syed Abbas, maka statusnya sebagai wakil rakyatnya akan terbatal sekaligus membayangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Sungai Sibuga di masa depan.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga menjadi satu-satunya wakil rakyat yang belum mengangkat sumpah dan sesi kedua Sidang DUN Sabah akan berlangsung pada 13 September (Isnin).
Fuad dalam pada itu turut menyatakan, Musa berjanji akan memberikan laporan penuh keputusan perubatannya selain bersemangat untuk pulang semula ke Sabah bagi menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri sah apabila pulang nanti.
#ADUN Sungai Sibuga
#masalah kesihatan
#Musa Aman
#rawatan susulan
#Syed Abbas Syed Ali
#Tengku Fuad Tengku Ahmad