Murugiah, Asojan kekal Naib Presiden MIC, Nelson muka baharu

Bernama
Julai 7, 2024 13:15 MYT
Datuk T Murugiah (empat,kiri) dan Datuk M Asojan (lima, kiri) meraikan kemenangan bersama selepas berjaya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk T. Murugiah dan Datuk M. Asojan, masing-masing mempertahankan jawatan Naib Presiden MIC manakala Ahli Dewan Negara Datuk Dr R. Nelson muncul muka baharu jawatan berkenaan pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu, bagi penggal 2024-2027.
Keputusan berkenaan dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC yang juga Penasihat Undang-undang parti Datuk M. Selva kepada Bernama, hari ini.
Nelson sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Selain itu, daripada 44 calon yang menawarkan diri bertanding jawatan CWC, 21 daripadanya berjaya dipilih oleh perwakilan bagi menjawat jawatan itu untuk tempoh sama.
Antara CWC yang terpilih adalah Datuk S.Tamilvanan, D.Vincent, D.Andrew, Datuk P. Kamalanathan, Datuk S.Marathamuthu, Datuk M.Karuppanan, Dr T.Novalan, G.Raman dan Datuk Dr. S.Ananthan
Proses pengundian jawatan tertinggi MIC berlangsung di ibu pejabat MIC pusat dan semua negeri bermula 1 petang, semalam dengan proses penamaan dilaksanakan bulan lepas.
Sebelum ini, Tan Sri S. A. Vigneswaran dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan masing-masing mempertahankan jawatan sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan sayap MIC, S. Shatesh Kumar dan K. Amarveen Malairaja masing-masing dipilih menerajui Putera MIC sebagai ketua dan timbalan ketua bagi penggal 2024-2027 manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Johor N. Saraswati menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita dan Dr P. Thanaletchumy sebagai Timbalan Ketua Wanita.
-- BERNAMA
#pemilihan MIC #jawatan naib Presiden MIC #T Murugiah #M Asojan #R Nelson #S A Vigneswaran #Saravanan
;