Mungkin PRU awal? Pemuda UMNO siap sedia - Asyraf Wajdi

Firdaus Azil
Jun 17, 2020 11:30 MYT
ASYRAF: Kalau ditakdirkan PM bubar Parlimen kerana tiada pilihan lain, atau terbubar kerana ada undi tak percaya dan sebagainya, Pemuda UMNO akan mula gerakkan jentera kita di seluruh Malaysia. - Gambar fail
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kini sedang membuat persediaan sekiranya pilihan raya umum (PRU) akan dilakukan dalam masa terdekat.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, kemungkinan PRU awal semakin jelas selepas Pakatan Harapan (PH) secara berterusan cuba menimbulkan sentimen negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita tak boleh elak berhadapan PRU, bukan kerana kita hendak. Kalau boleh kita mahu supaya isu COVID-19 betul-betul selesai, dan kalau habis penggal lebih baik.
"Tetapi, lantaran berterusan gangguan dan desakan pembangkang, terutama PH yang tidak putus-putus dan tidak berhenti mengganggu kestabilan kerajaan hari ini.
“Jadi, akhirnya kalau ditakdirkan Perdana Menteri bubar (Parlimen) kerana tiada pilihan lain, atau terbubar kerana ada undi tak percaya dan sebagainya, Pemuda UMNO akan mula menggerakkan jentera kita di seluruh Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, malam tadi.
Beberapa hari lepas, media melaporkan Muhyiddin tidak menolak kemungkinan untuk melakukan PRU seawal hujung tahun ini bagi mewujudkan legitimasi kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.
Laporan tersebut berkata, Muhyiddin, yang juga Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu telah memaklumkan hasrat beliau sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu pada 4 Jun lepas.
Dalam pada itu, Ahli MT UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Namun, beliau turut mengesahkan perbincangan mengenai PRU juga ada tetapi hanya secara umum.
“Ada berbincang secara umum tentang cakap-cakap kemungkinan nak adakan snap election tetapi itu belum menjadi isu lagi. Itu semua spekulasi awal,” katanya lagi.
#Annuar Musa #Asyraf Wajdi Dusuki #bubar parlimen #gangguan #Pakatan Harapan #pembangkang #Perikatan Nasional #Pilihan raya awal #pilihan raya kecil #pilihan raya umum #PRK Chini #PRU awal #PRU15 #sentimen negatif #snap election #spekulasi #UMNO #undi tidak percaya
;