Mungkin petanda baik buat negara, UMNO boleh kerjasama dengan DAP - Faizal Azumu

Ridauddin Daud
Disember 4, 2020 14:39 MYT
Menurut Ahmad Faizal, beliau tidak pernah dimaklumkan apa-apa oleh kepimpinan UMNO Perak yang menolak kepimpinannya sebagai Menteri Besar. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: “Mungkin ini petanda baik buat negara kita apabila UMNO boleh bekerjasama dengan DAP untuk gugurkan saya sebagai Menteri Besar.”
Demikian reaksi sinis Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya berhubung kekalutan yang berlaku dalam kerajaan negeri Perak pada Jumaat.
Menurutnya, beliau masih tidak jelas dengan apa yang berlaku namun berdasarkan situasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi, Ahmad Faizal menegaskan, sudah tentu berlakunya rundingan melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Begitulah, saya nampak orang politik ini boleh bekerjasama untuk kepentingan kumpulan tertentu, kepentingan individu tertentu.
“Tapi saya masih lagi mengesyorkan kerjasama yang terjalin mestilah demi kepentingan rakyat. Jika saya telah menjadi virus kepada kepentingan rakyat, sudah tentu mereka perlu buat keputusan itu.
“Tapi malang pada diri saya, perkara ini tidak dimaklumkan kepada saya oleh kepimpinan UMNO di Perak,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Jumaat.
ADUN Chenderiang itu berkata, meskipun kerap bertemu pemimpin UMNO dan Exco Negeri, namun mereka tidak pernah memaklumkan apa-apa permasalahan kepadanya.
“Tapi mungkin kerana kerusi MB itu terlalu diidamkan menyebabkan percaturan dibuat untuk ketepikan saya,” ujar Ahmad Faizal lagi.
#politik perak #krisis politik #Ahmad Faizal Azumu #Menteri Besar #Bersatu #UMNO #DAP #Exco #ADUN #DUN
;