Mungkin ada wakil rakyat tandatangan SD sokong kedua-dua pihak - Shamsul Amri

Farhana Joni
Februari 24, 2020 09:47 MYT
Shamsul Amri berkata, tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan boleh dianggap menjejaskan situasi politik negara yang sepatutnya boleh berjalan lancar. - Gambar fail
Kemungkinan terdapat beberapa Ahli Parlimen yang cuba bertindak 'selamat' dengan menandatangani dua akuan bersumpah (SD) menyokong kedua-dua Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Demikian menurut penganalisis politik Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang berkata, para wakil rakyat berkenaan bertindak demikian dipercayai kerana tidak mahu rugi jika salah seorang pemimpin tersebut berjaya dalam percaturan politik baharu kelak.
Kata beliau yang merupakan Profesor Ulung Universiti Kebangsaan Malaysia, tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan secara tidak langsung telah menyebabkan krisis yang kini berlaku dalam politik Malaysia hari ini.
"Saya merasakan, ada juga Ahli Parlimen yang menandatangani SD untuk kedua-dua pihak, kerana ramai juga ahli politik ini tidak mahu rugi, jadi mereka bertaruh untuk kedua-duanya.
"Ini yang menjadikan krisis itu. Krisis yang tak disebut, tetapi rasa saya ialah, bilangan misalnya 130 orang (ahli Parlimen) itu, kalau tolak 11 orang, berapa jumlah yang tinggal?
"Ini isunya. Dan mungkin 11 itu yang akan menentukan masa depan Malaysia apabila mereka dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong, misalnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Shamsul Amri berpandangan, tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan boleh dianggap menjejaskan situasi politik negara yang sepatutnya boleh berjalan lancar.
"Saya tak rasa Agong akan panggil semua 222 Ahli Parlimen, tetapi apa yang saya anggap akan berlaku ialah, apakah yang menyebabkan terhentinya proses ini?
"Jadi, saya rasa, terpulang kepada ahli politik sendiri untuk menentukannya, sebab ada yang masih ragu dan ada yang tidak mahu hilang kedudukan, jadi, dia sokong kedua-dua pihak," tambahnya.
#akuan bersumpah #Anwar Ibrahim #krisis politik #Mahathir Mohamad #pertukaran pakatan #SD #Shamsul Amri Baharuddin #tandatangan #Tun Dr Mahathir Mohamad #Universiti Kebangsaan Malaysia #Yang di-Pertuan Agong
;