Multaqa jadi platform perpaduan pemimpin politik Islam

Harits Asyraf Hasnan
Disember 17, 2015 14:06 MYT
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria antara panel yang terbabit dalam multaqa itu nanti. - Foto Astro AWANI/
Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 dilihat sebagai platform terbaik kepada pemimpin negara untuk berdialog berkenaan isu semasa terutama melibatkan isu berkaitan umat Islam di negara ini.
Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia, (WAAG) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata tiada alasan untuk pemimpin negara untuk tidak duduk dalam satu platform bagi mencari solusi permasalahan.
"Ini sesuatu yang sangat-sangat signifikan terutama kepada rabitah kerana kita melihat tidak ada sebab kita umat Islam tidak boleh berbincang dan berdialog, terhadap isu-isu yang berlaku apatah lagi isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.
"...umat Islam ini berada di dalam kedua-dua parti terbesar ini (UMNO dan PAS) dan mereka memang setiap hari didedahkan dengan isu-isu yang berkaitan dengan Islam yang tentu sekali ada hubungan dengan politik seharian.
"Jadi kita merasakan, multaqa yang dianjurkan kali ini menjadi satu platform yang kita rasa dapat menarik perhatian dan satu mesej untuk umat Islam di negara kita bahawa pemimpin terbesar di negara kita boleh berdialog, berbincang dan ini InsyaAllah akan dapat mempengaruhi semua masyarakat Islam dalam semua peringkat," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini hari ini.
Selain itu, Mohd Fakhrudin berkata negara-negara serantau ASEAN kini tertumpu kepada Malaysia di mana multaqa kali ini dilihat sebagai satu platform perpaduan parti politik di negara ini.
"Ini sekaligus dapat ditunjukkan bagaimana semangat perpaduan ini telah menyebabkan rakan-rakan kita di negara serantau ASEAN kagum.
"Mereka juga rasa kagum selain berterima kasih kepada kita...bagaimana kita mampu menganjurkan pertemuan ini bagi mereka satu pertemuan yang besar," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan multaqa serantau kali ini di mana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga akan berada di pentas yang sama untuk menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian tersebut.
Kira-kira 900 peserta hadir pada multaqa atau seminar yang dianjurkan WAAG dan Pejabat Perdana Menteri selama tiga hari yang bermula semalam.
Antara panelis yang terlibat seperti Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates Nasharudin Mat Isa dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
#Al-Azhar #HADI AWANG #Harussani Zakaria #Mohd Fakhrudin Abdul Mukti #Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 #Najib Razak #PAS #Rabitah #UMNO
;