Mula-mula Apandi terima, lepas beberapa jam tolak pelantikan sebagai ahli MT UMNO
Astro Awani
Julai 14, 2018 22:18 MYT
Julai 14, 2018 22:18 MYT
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak pelantikan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diumumkan hari ini.
Apandi berkata, beliau menolak pelantikan itu kerana ia akan diselubungi dengan pelbagai persepsi negatif yang mungkin dikaitkan dengan tugasnya sebagai hakim dam peguam negara sebelum ini.
"Setelah berfikir semasak-masaknya, dan dengan mendalam, saya berasa adalah tidak wajar untuk menerima pelantikan sebagai Ahli MT UMNO.
"Apa yang bermain difikiran saya adalah pelantikan tersebut akan diselubungi dengan pelbagai persepsi negatif yang mungkin dikaitkan dengan apa jua tindakan dan keputusan saya semasa menjalankan tugas sebagai seorang hakim dan Peguam Negara.," katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.
Awal hari ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan yang disiarkan portal UMNO Online mengumumkan pelantikan 11 ahli lantikan dalam badan tertinggi parti itu yang turut menyenaraikan nama Apandi.
Selepas kenyataan itu disiarkan, Utusan Online melaporkan Apandi menyatakan penghargaan atas pelantikan itu dan berikrar untuk berjuang untuk parti itu.
#hakim
#lantikan
#majlis tertinggi
#Malaysia
#Mohamed Apandi Ali
#MT
#Peguam Negara
#UMNO
#Zahid Hamidi