Muktamar Pemuda Pas hambar, tiada isu panas dibangkitkan
Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2016 22:12 MYT
Jun 1, 2016 22:12 MYT
Muktamar Dewan Pemuda Pas yang menutup tirai hari ini dikatakan hambar.
Ia ekoran tiada sebarang isu panas dibangkitkan perwakilan sayap parti itu.
Sepanjang dua hari bermuktamar, perwakilan Pemuda Pas lebih tertumpu soal tarbiah anak muda, penguasaan ilmu, pendidikan dan sebagainya.
Pemerhati politik Pas berpendapat, perwakilan sepatutnya menyentuh isu sokongan anak muda terhadap parti Islam itu.
Namun, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz ada jawapan sendiri terhadap suasana hambar itu.
“Mood ketenangan yang melanda parti. Pas tidak panas, Pas sekarang dalam pengukuhan dalaman.
"Ahli Pemuda dan Muslimat gembira dengan suasana sejuk, nampak selari. Tidak ada panas; sokong menyokong antara kami,” kata Nik Mohamed Abduh.
Ujar beliau, walaupun jentera pemuda Pas bakal menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, suasana hambar ini dilihat tidak akan mematahkan semangat perjuangan meraih kemenangan di kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.