Muktamar Pas: Tidak perlu letak jawatan exco kerajaan Selangor - Khalil

Hafiz Marzukhi
April 28, 2017 09:20 MYT
KHALIL: PKR tidak melantik exco-exco Pas. Malah, bilangan kerusi yang dimiliki Pas di Selangor adalah lebih daripada PKR. -Bernama
Exco Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu meletakkan jawatan sekiranya usul untuk memutuskan kerjasama dengan PKR diluluskan Majlis Syura.
Ketua Dewan Pemuda Pas yang baharu Khalil Abdul Hadi berkata ini kerana pelantikan exco bukan dibuat oleh PKR.
"PKR tidak melantik exco-exco Pas. Malah, bilangan kerusi yang dimiliki Pas di Selangor adalah lebih daripada PKR," kata beliau dalam satu sidang media selepas tamat Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Pas Kedah petang ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Pas telah memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor manakala PKR telah memenangi 13 kerusi.
Dewan Pemuda Pas sebelum ini meluluskan usul sebulat suara untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR agar dibahaskan di peringkat Muktamar Pas Pusat.
Usul tersebut dibawa oleh Dewan Pemuda Pas Terengganu tidak menerima apa-apa bantahan daripada perwakilan yang menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Selain Dewan Pemuda, Dewan Ulama turut meluluskan usul yang sama ketika Muktamar pergerakannya pada Khamis.
Proses perbahasan bagi Dewan Pemuda Pas dijangka akan tamat hari ini.
Muktamar Pas Pusat akan bermula esok hingga Isnin.
#Muktamar Pas #Parti Islam SeMalaysia #PAS #PKR