Muktamar PAS: Siapa untung? Siapa rugi?, Siapa menang? Siapa kalah?

Irwan Muhammad Zain
September 20, 2014 07:00 MYT
Yang rugi setelah muktamar ini berahir tidak lain dan tidak bukan ialah PAS sendiri kerana mereka gagal menggunakan kesempatan bersidang untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi rakyat. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-60 telah melabuhkan tirainya pada petang Sabtu dengan berbagai cerita yang masih diperkatakan.
Buat pertama kali, Muktamar PAS diadakan di Johor, sebuah negeri yang dianggap kubu kuat musuh tradisi parti Islam itu, UMNO.
Seperti biasa, ramai yang mengikuti Muktamar PAS kali ini kerana ia berlangsung ketika kemelut politik di Selangor belum ada kesudahan, ketika teka-teki apakah parti Islam itu akan menerima jawatan menteri besar atau tidak belum terjawab.
Ramai menjangkakan muktamar kali ini akan 'panas' dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor dan juga isu perbezaan pandangan beberapa pemimpin PAS dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama (MSU).
Paling teruk menjadi mangsa serangan perwakilan ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kerana beliau merupakan pemimpin yang dilihat sering membuat kenyataan berbeza dengan pendirian Abdul Hadi dan MSU.
Ternyata, perwakilan yang terdiri dari kumpulan pro-ulama menggunakan pentas muktamar untuk 'melepaskan geram' terhadap Mat Sabu dan beberapa pemimpin lain yang dikatakan kumpulan profesional.
Biarpun pemimpin PAS mengatakan apa yang berlaku di muktamar kali ini merupakan perkara biasa tetapi mereka tidak boleh menolak kenyataan bahawa apa yang berlaku ini merupakan yang paling teruk.
Ahli dan pemimpin PAS tidak kira dari kumpulan pro ulama atau pro profesional tidak boleh menolak bahawa sebaik selesai muktamar ini, ada yang menang, ada yang kalah, ada yang untung dan ada yang rugi.
Yang Menang - kumpulan pro profesional
Kumpulan ini terutama pemimpinnya, yang juga diberi gelaran kumpulan Erdogan, mendapat kritikan paling teruk dari perwakilan. Malah ada ketikanya, bila pemimpin dari kumpulan ini berucap, perwakilan mencemuh.
Tetapi, biarpun dikritik dan dicemuh, kumpulan ini boleh dianggap menang dalam pertarungan berdasarkan hujah-hujah yang diberikan ketika sesi pergulungan.
Perwakilan mempertikaikan kumpulan ini berdasarkan kenyataan mereka terutama Mat Sabu dalam isu Menteri Besar Selangor. Hujah perwakilan, kumpulan ini membuat kenyataan membelakangi keputusan presiden dan MSU.
Tetapi, kumpulan profesional ini memberikan hujah, pandangan-pandangan yang mereka berikan bukan bermaksud menentang presiden atau MSU, sebaliknya dibuat kerana berpegang kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.
Jawatankuasa PAS Pusat mempunyai peranan dalam menentukan dalam hal-hal eksekutif manakala MSU pula berperanan dalam hal-hal dasar, iaitu dasar PAS yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah.
Oleh yang demikian, biarpun kumpulan profesional ini dicemuh tetapi dari segi hujah dan pandangan yang diberikan, mereka boleh dianggap kukuh.
Yang Kalah - kumpulan pro ulama
Kumpulan ini mungkin mendapat tepukan gemuruh dan laungan takbir yang paling kuat dari perwakilan dan pemerhati muktamar.
Tetapi teriakan takbir yang kuat tidak bermakna memperolehi kemenangan mutlak. Ketika muktamar mungkin merekalah wira tetapi selepas muktamar, apakah tepukan kuat mampu untuk berdepan politik baharu.
Kumpulan ini terpaksa menerima hakikat bahawa sikap mereka membuatkan pengundi atau pihak diluar PAS melihat bahawa tidak ada ruang untuk golongan profesional dalam parti Islam itu.
Biarpun Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa golongan ulama dan profesional mempunyai peranan yang sama penting tetapi, rakyat melihat kumpulan pro ulama sedang berusaha untuk menjadikan parti itu eksklusif kepada golongan agamawan sahaja.
Jika golongan profesional mahu bersama PAS, mereka perlu mempunyai aliran pemikiran yang sama seperti kumpulan pro ulama. Jika tidak, tempat untuk mereka hanyalah sebagai ahli biasa.
Yang untung - seteru PAS
Yang mendapat keuntungan dari Muktamar PAS kali ini ialah seteru mereka kerana apa yang berlaku sejak bermulanya muktamar Pemuda PAS Malaysia, boleh dijadikan senjata untuk menyerang parti itu.
Lawan PAS, tentunya bertepuk tangan kerana perwakilan parti itu telah memberikan mereka peluru percuma untuk digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor.
Malah peluru itu juga boleh digunakan pada bila-bila masa untuk terus 'menembak' PAS dalam menuju Pilihan Raya Umum akan datang.
Apa yang berlaku di Muktamar Tahunan PAS ke-60 ini juga akan digunakan untuk memberitahu rakyat bahawa, parti yang bercita-cita mahu mentadbir negara ini mempunyai masalah dalaman yang teruk, pemimpin mereka tidak disenangi ahli.
Yang rugi - PAS
Yang rugi setelah muktamar ini berahir tidak lain dan tidak bukan ialah PAS sendiri kerana mereka gagal menggunakan kesempatan bersidang untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.
Memang benar ada isu disentuh oleh perwakilan, tetapi ianya dibangkitkan setelah Timbalan Mursyidul AM PAS, Datuk Dr Haron Din mengarahkan agar perwakilan tidak lagi membangkitkan isu perbezaan pendapat antara Abdul Hadi dan beberapa pemimpin lain.
Sepatutnya, pentas muktamar digunakan sepenuhnya untuk membincangkan tentang isu kenaikan kos hidup, isu peluang pekerjaan yang semakin banyak diambil oleh warga asing dan bermacam lagi isu rakyat.
Perwakilan PAS sepatutnya membahaskan perkara-perkara sebagai membuktikan bahawa mereka parti yang berjuang untuk kepentingan rakyat dan mereka adalah parti yang boleh disandarkan harapan untuk menjadi pemerintah pada masa depan.
Mana mungkin rakyat akan memberi kepercayaan kepada sebuah parti yang mana ahli-ahlinya secara terang-terangan menyerang pemimpin mereka sendiri. Rakyat, yang bukan ahli PAS, tentunya akan membuat penilaian, apakah ini parti yang boleh mereka harapkan.
Benar, tidak ada salahnya untuk berbeza pendapat dan mengkritik tetapi kalau sudah terlalu ketara ia boleh memberi kesan negatif. Jangan disalahkan media, kerana perwakilan memberikan berita-berita hangat untuk dilaporkan.
Semuanya terpulang kepada ahli dan pemimpin PAS untuk membawa halatuju parti itu. Apakah mereka mahu PAS mengorak langkah ke hadapan atau menjadi parti yang hanya dapat memerintah di Kelantan dan Terengganu sahaja.
#Muktamar #PAS #profesional #ulama
;