Muktamar PAS: Politik tanpa berlandaskan Islam tidak bermakna - Hadi Awang

Hafiz Marzukhi
Jun 2, 2016 11:16 MYT
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di Pusat Tarbiah Islam Kelantan sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-62 pagi ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Amalan politik tanpa berlandaskan prinsip-prinsip Islam adalah tidak bermakna, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Justeru katanya, sebarang tindakan untuk mengamalkan ideologi selain dari prinsip Islam hanya akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan negara.
"Amalan ideologi Barat tanpa merujuk kepada Islam akan memberi akibat yang buruk kepada rakyat dan negara," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-62 di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa yang berlangsung pagi ini.
Tambahnya, Islam yang diturunkan untuk manusia adalah satu hidayah bagi menyelesaikan masalah-masalah duniawi.
"Hal-hal berkaitan ekonomi serta pendidikan juga akan menghadapi masalah jika tidak dilaksanakan menurut acuan yang telah ditetapkan menurut Islam," kata Abdul Hadi lagi.
Tambahnya, Islam seharusnya diamalkan sebagai cara hidup, bukannya untuk diperlakukan sewenang-wenangnya.
"Islam mensyaratkan politik berkempimpinan jati diri, mampu menjadi penyelesaian semua masalah sama ada krisis politik, ekonomi ataupun hal-hal kemanusiaan," katanya.
Sesi perbahasan untuk usul-usul yang dibangkitkan dalam Muktamar akan berlangsung petang ini.
#Abdul Hadi Awang #Muktamar Pas #Pengkalan Chepa #Presiden Pas #Pusat Tarbiah Islam Kelantan
;