Muktamar Pas himpun 1,200 perwakilan seluruh negara

Bernama
September 9, 2018 20:40 MYT
Terengganu dipilih sebagai tuan rumah bagi meraikan kejayaan Pas menawan negeri itu pada Pilhan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu. - Gambar hiasan
Muktamar Pas ke-64 yang bakal berlangsung di Terengganu pada 15 hingga 16 Sept bakal menghimpunkan lebih 1,200 perwakilan dari seluruh negara. kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata muktamar tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana terdapat beberapa pembaharuan seperti Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang akan bersidang buat pertama kali.
"Terengganu dipilih sebagai tuan rumah bagi meraikan kejayaan Pas menawan negeri itu pada Pilhan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual merasmikan muktamar dan menyampaikan ucapan dasar di Stadium Tertutup Gong Badak pada pagi 15 Sept.
Takiyuddin berkata Muktamar Dewan Ulama Pas akan diadakan pada 13 Sept di Hotel Permai manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS di Marina Duyong, Muktamar Dewan Muslimat PAS di Taman Tamadun Islam dan Konvensyen DHPP pada 14 Sept di Stadium Tertutup Gong Badak (STGB).
Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin berkata tidak timbul soal penggabungan antara Pas dan UMNO hanya kerana parti pembangkang itu turut dijemput menghadiri muktamar tahunan Pas kali ini.
Menegaskan bahawa sudah menjadi amalan Pas untuk mengundang parti pembangkang ke majlis perasmian muktamar parti, beliau berkata jemputan disampaikan kepada semua parti pembangkang termasuk UMNO, MIC dan MCA namun setakat ini hanya UMN0 yang sahkan untuk hadir, diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan 10 wakil daripada biro politik.
"Suatu masa dulu masa ketika kita dalam Pakatan Rakyat bersama dengan PKR dan DAP, sebagaimana kita dijemput dalam perhimpunan am mereka, ia bukanlah suatu perkara baharu dan pelik," katanya.
Takiyuddin berkata Pas sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua parti politik di negara ini sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan untuk membela kebajikan rakyat tetapi pada masa sama memastikan proses semak dan imbang yang lebih berkesan.
-- BERNAMA
#Muktamar Pas #PAS #politik #Takiyuddin Hassan
;