Muktamar Pas: Enam usul penting dibentang esok
Sinar Harian
September 14, 2024 19:23 MYT
September 14, 2024 19:23 MYT
TEMERLOH: Enam usul penting meliputi isu politik, antarabangsa dan ekonomi akan dibentang pada sesi muktamar esok.
Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci berhubung usul yang akan dibentang itu.
"Saya tidak boleh dedahkan hari ini, tapi cukup untuk saya sebut, esok (Ahad) ada agenda penting dan sedikit kejutan untuk media serta rakyat Malaysia yang mengikut perkembangan parti kami.
"Harap media dapat mengambil usul-usul itu dan kita akan bentangkan dalam masa dua jam sebelum ucapan penangguhan," katanya pada sidang akhbar di Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini, pada Sabtu.
Menjawab pertanyaan mengenai ucapan perwakilan yang dilihat banyak menegur kerajaan, Fadhli berkata, Pas sebagai parti pembangkang sudah pasti banyak perkara yang mereka tidak bersetuju.
Jelasnya, teguran itu bukan hanya dikemukakan presiden parti, tetapi juga Pemuda, Muslimat, Ulama dan agenda ini akan berterusan sehingga muktamar pusat esok.
"Kami mahu tunjuk kepada rakyat, Pas kerajaan yang menanti. Satu parti pernah ada dalam kerajaan, layak bentuk kerajaan dengan tawarkan penyelesaian kepada rakyat.
"Bukan hanya bentang masalah sahaja, tapi bentang juga penyelesaian," katanya. -- Sinar Harian