Muktamar Pas: "Biarlah dia cari dosa kering" - Ahmad Zahid

Bernama
September 17, 2024 19:41 MYT
Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2024 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2024 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: "Biarlah dia cari dosa kering," demikian jawapan ringkas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas tindakan Pas didakwa menjadikan Muktamar Tahunan Ke-70 parti itu baru-baru ini sebagai pentas untuk memfitnah dan memaki hamun lawan politik mereka.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2024 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan pemimpin Pas yang menghamburkan cacian dan kebencian dalam ucapan serta resolusi sepanjang lima hari berlangsungnya Muktamar parti itu yang melabuhkan tirai Ahad lepas.
Menteri Dalam Negeri itu turut menyifatkan Muktamar PAS sebagai kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun di bawah pimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
-- BERNAMA
#Muktamar Pas #Zahid Hamidi #budaya fitnah #dosa kering #Abdul Hadi Awang
;