Muktamar kecoh seketika kerana isu 'putuskan hubungan dengan DAP'

Haider Yutim
Jun 6, 2015 13:58 MYT
MOHD FAIZ: Memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih dalam Pakatan Rakyat diibaratkan sebagai hubungan yang tempang.
Muktamar tahunan PAS hari ini menjadi hangat seketika susulan ketidakpuashatian beberapa ahli perwakilan tentang usul memutuskan kerjasama dengan DAP oleh Dewan Ulama PAS Pusat.
Meskipun usul itu diluluskan tanpa bahas, namun ada perwakilan yang mempersoalkan kenapa mereka tidak diberi peluang mengutarakan pandangan tentang isu tersebut.
Perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Faiz Fadzil meminta kepimpinan PAS menjelaskan mengapa keputusan berkenaan usul tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura.
Beliau bangkit selepas Pengerusi Jawatankuasa Usul PAS, Datuk Mahfuz Omar memberi penjelasan kedudukan usul tersebut.
Katanya ini adalah isu penting yang akan menggambarkan pendirian PAS sendiri berhubung 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik dengan DAP.
"Perlu dibawa dalam muktamar... jangan nak bercerai dengan DAP tapi terus kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
"Kalau berani nak putuskan hubungan dengan DAP, biarkan perwakilan bahaskan (isu ini)," katanya pada sesi bahas Muktamar tahunan PAS ke-61.
Ujar Mohd Faiz, memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih dalam Pakatan Rakyat diibaratkan sebagai hubungan yang tempang.
Muktamar sebelum itu dimaklumkan bahawa usul bagi memutuskan hubungan engan DAP diluluskan tanpa bahasa kerana ianya dianggap sensitif.
Gesaan untuk membahaskan usul yang dikemukakan Dewan Ulama PAS itu turut disuarakan seorang perwakilan dari Selangor.
Bagaimanapun Pengerusi Tetap, Hussin Ismail dipaksa meredakan keadaan setelah suasana Muktamar menjadi kecoh untuk seketika.
Keadaan menjadi tenang semula selepas Hussin meminta Mahfuz tampil menenangkan suasana Muktamar.
#DAP #Dewan Ulama PAS #Muktamar Pas