Mukhriz sahkan tidak sertai pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah

Astro Awani
Januari 31, 2016 23:41 MYT
Menurut Mukhriz, beliau sebaliknya akan ke pejabat untuk menjalankan tugasnya seperti biasa dan tidak akan menyertai pertemuan yang akan diadakan di Wisma Darulaman, Alor Setar itu. - Gambar fail
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengesahkan beliau tidak akan menghadiri pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah esok.
Menurut Mukhriz, beliau sebaliknya akan ke pejabat untuk menjalankan tugasnya seperti biasa dan tidak akan menyertai pertemuan yang akan diadakan di Wisma Darulaman, Alor Setar itu.
“Pertemuan tu bukan dengan saya, tetapi dengan ADUN-ADUN dan Jemaah (Pemangku Sultan). Mungkin ada beberapa soalan yang Jemaah hendak tanya ADUN-ADUN ini untuk memastikan adakah benar mereka mempunyai pendirian seperti yang dilaporkan pada sidang media 20 Jan lepas.
“Saya ingat tidak kot, kalau pun saya hadir untuk berjumpa secara perseorangan saya tidak akan berada di dalam pejabat di mana temubual itu dijalankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas, Alor Setar pada Ahad.
Ketika ditanya sama ada satu pengumuman berhubung pertukaran menteri besar dibuat selepas pertemuan itu, beliau berkata beliau sudah dimaklumkan tetapi tidak dapat memberi sebarang kenyataan.
“Tak tahu lah, macam-macam dakwaan setakat ini saya pun tak tahu mana satu hendak percaya.
“Itu kena tanya pihak istana, saya tak boleh bercakap bagi pihak istana... saya telah dimaklumkan tetapi saya tak boleh bercakap bagi pihak istana,” katanya.
Mukhriz yang tiba kira-kira jam 7.50 malam disambut penyokongnya yang menantikan ketibaannya sejak petang.
Terdahulu, satu pertemuan antara ADUN BN dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan diadakan di Alor Setar pada Isnin, dipercayai berkaitan kemelut politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar.
Beberapa ADUN mengesahkan telah dimaklum mengenai pertemuan itu yang dijangka berlangsung di Wisma Darul Aman, 2 petang esok.
#ADUN #Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah #BN #jemaah #Mukhriz Mahathir
;