Mukhriz: PAS-PPBM sepakat tumpu strategi tawan kerusi luar bandar

Harits Asyraf Hasnan
Februari 1, 2017 14:44 MYT
Tegas Mukhriz, hasrat utama pembangkang pada ketika ini adalah bagi memastikan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. - Gambar fail
Kerjasama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat sebagai strategi pembangkang untuk menawan kerusi luar bandar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Itu pandangan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana majoriti pengundi luar bandar merupakan pengundi Melayu.
Jelas Mukhriz, penting pada ketika ini untuk parti-parti pembangkang mempunyai satu pendekatan yang mampu menarik sokongan pengundi terutama pengundi Melayu di kawasan luar bandar.
"Pada waktu sama, ada pentingnya kita mempunyai satu pendekatan yang mampu menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu di kawasan-kawasan luar bandar. Tanpa sokongan mereka itu, mungkin peluang kita untuk menang pada PRU agak terjejas.
"Sebab itu DAP faham apa perlunya apa kita mempunyai satu bentuk kesefahaman dengan PAS supaya kita semua boleh berhadapan dengan Barisan Nasional sebagai satu pasukan yang memnpunyai pendekatan bersama," katanya ketika dihubungi Hari Ini 8 di sini hari ini.
Jelasnya, hasrat utama pembangkang pada ketika ini adalah bagi memastikan misi satu lawan satu menentang BN pada PRU-14 akan datang tercapai.
Beliau pada masa sama optimis pengundi Cina pragmatik dengan perjuangan yang dibawa parti itu bersama Pakatan Harapan.
Sekaligus menolak dakwaan kononnya pengundi Cina beralih arah lantaran PPBM menjalin kerjasama dengan PAS.
"Memang ada dakwaan seperti itu, tetapi saya kira bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu khususnya dari kalangan kaum Cina pragmatik dalam bagaimana mereka memilih wakil-wakil rakyat mereka.
"Seperti mana yang kita semua sedia maklum, kerusi-kerusi yang ditandingi oleh DAP ini biasanya dalam bandar di mana peratusan pengundi Melayu itu mungkin tidak sebanyak yang wujud di kerusi-kerusi kawasan luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penubuhan Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM susulan mesyuarat yang berlangsung di sebuah lokasi rahsia di sini hari ini membabitkan delegasi kedua-dua parti yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mukhriz.
Jawatankuasa itu dibentuk untuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang keputusan yang dipersetujui kedua-dua parti.
#BN #DAP #Datuk Seri Mukhriz Mahathir #PPBM #PRU14