Mukhriz nafi sokong Perikatan Nasional

Adie Sufian Zulkefli
Mac 16, 2020 19:02 MYT
Mukhriz menegaskan, tiada rundingan dilakukan di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan perkara itu. - Gambar fail
“Saya tidak dimaklumkan tentang apa-apa tempoh dan tiada sebarang rundingan”
Itu reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang menafikan diberikan tempoh bagi membuat keputusan menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mengekalkan jawatannya di negeri ini.
Mukhriz menegaskan, tiada rundingan dilakukan di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan perkara itu.
"Saya tak dimaklumkan langsung apa-apa tempoh dan setahu saya tidak ada sebarang rundingan diantara Tun Mahathir dengan Tan Sri Muhyiddin. Setahu saya permohonan telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terhadap tun Mahathir tetapi Tun belum lagi rasa masa yang sesuai untuk berjumpa," katanya.
Mukhriz mengulas pertanya media dalam sidang media khas tangani COVID-19 di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.
Media sebelum ini, melaporkan Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diberi tempoh sebulan bagi mempertimbang sokongan kepada PN dan mengekalkan jawatan Menteri Besar Kedah.
Laporan yang memetik sumber itu memaklumkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali diberi tugas memujuk Mukhriz, manakala Muhyiddin berusaha berbincang bersama Dr Mahathir.
#Azmin Ali #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #Perikatan Nasional #PPBM
;