Mukhriz jangan heret BN dalam isu Cambridge Analytica

Bernama
Mac 24, 2018 04:00 MYT
MAHDZIR: Seingat saya, tidak pernah ada mesyuarat mengenai penggunaan khidmat syarikat itu dan jika ada, mungkin dia (Mukhriz) guna untuk diri sendiri. - Gambar fail
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar tidak mengheret Barisan Nasional (BN) dalam kancah penggunaan khidmat syarikat penganalisis data, Cambridge Analytica.
Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata sepanjang menjadi anggota jawatankuasa badan perhubungan UMNO negeri dari 2008 hingga 2013, perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan dalam mana-mana mesyuarat.
"Seingat saya, tidak pernah ada mesyuarat mengenai penggunaan khidmat syarikat itu dan jika ada, mungkin dia (Mukhriz) guna untuk diri sendiri (semasa menjadi menteri besar Kedah).
"Sebab itu, jika ada apa-apa yang berbangkit, itu antara dia dengan Cambridge Analytica. Jangan bila dah lena, nak heret sama BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Turun Padang Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysua (KPM) ke Kulim-Bandar Baharu di sini, pada Sabtu.
BACA: Isu Cambridge Analytica: "Azrin Zizal yang menipu" - Mukhriz
BACA: Kenyataan Mukhriz mengenai Analytica bohong sama sekali - Azrin Zizal
Pada Jumaat, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan pernah menggunakan khidmat syarikat penganalisis data, Cambridge Analytica atau syarikat induknya, SCL Group bagi membantu kempen parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut firma perunding politik, Cambridge Analytica tidak pernah diupah oleh Barisan Nasional (BN) atau kerajaan Malaysia.
"Cambridge Analytica ataupun syarikat induknya SCL Group tidak pernah - pada masa kini atau masa lalu - telah mengikat kontrak atau dibayar dengan apa cara oleh Barisan Nasional, Pejabat Perdana Menteri atau mana-mana pihak bagi kerajaan Malaysia," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Barisan Nasional #Cambridge Analytica #Kedah #Mahdzir Khalid #Mukhriz Mahathir #pejabat perdana menteri #pilihan raya umum #PRU13 #UMNO
;