'Mukhriz gila talak dengan UMNO' - Shaiful Hazizy

Astro Awani
Disember 11, 2016 09:47 MYT
SHAIFUL: Mukhriz disifatkan sedang dilanda sindrom gila talak apabila mengambil peduli isu dalaman UMNO. - Gambar fail
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir disifatkan sedang dilanda sindrom gila talak apabila berterusan mengambil peduli isu dalaman UMNO.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Mukhriz juga bermain sentimen dan cuba mewujudkan kekeliruan persepsi dengan dakwaan isu Khairy Jamaluddin pernah menghantar surat perletakan jawatan dan dipujuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Jika pun benar ada asas penyerahan surat letak jawatan oleh Ketua Pemuda UMNO itu, ia terpulang kepada hak pereogatif Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerima ataupun menolak perletakan jawatan itu.
"Ia cubaan terbaharu Mukhriz menghuru-harakan parti selepas pelbagai kaedah yang digunakan sebelum ini menemui kegagalan.
"Mukhriz bukanlah seorang yang berani dan berprinsip kerana menyatakan perkara itu di luar konteks masa dan tempat yang sepatutnya," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Mukhriz mendedahkan bahawa Khairy pernah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.
Tegas Shaiful, seandainya benar perkara yang didakwa, ia wajar disebut Mukhriz semasa masih memegang jawatan Menteri Besar Kedah dan di dalam UMNO.
"Atas landasan mempertahankan kebenaran, Mukhriz seharusnya membuat pendedahan ini lebih awal dan bukannya sekarang," jelasnya.
Dalam pada itu tegas Shaiful, Mukhriz dilihat sekadar berani menyatakan perkara yang bersifat 'cakap-cakap kedai kopi'.
"Kebenarannya diragui di hadapan penyokong PPBM dan bertujuan membuktikan kononnya dalaman UMNO sedang goyah. Inilah sikap dan strategi politik yang silap, bersikap kebudak-budakan dan langsung tidak mencerminkan kepimpinan sebagai timbalan presiden sebuah parti serpihan.
"Kenyataan Mukhriz ini adalah sekadar reaksi 'sakit hati' atau dendam peribadi hasil daripada serangan jitu Khairy terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Perhimpunan Pemuda UMNO.
"Dalam hal ini, kita tidak pernah duduk di 'kerusi belakang' di dalam peranan mempertahankan institusi presiden dan Ketua Pemuda UMNO," jelasnya.
"Ternyata cubaan Mukhriz cuba mengelirukan penyokongnya sendiri sudah tidak berkesan kerana isu dibangkitkan langsung tidak memancarkan idealisme PPBM yang kukuh untuk berdepan dengan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU akan datang," ujarnya.
Shaiful turut mencabar PPBM untuk mendedahkan jumlah sebenar ahli mereka di Kedah.
"Berdiam diri adalah satu strategi kurang matang dan kebudak-budakan. Kita yakin jumlah yang digembar-gemburkan adalah tidak seberapa. PPBM Kedah cuba bermain perang psikologi.
"Namun berapa pun jumlah yang bakal diumumkan, kita yakin ianya sekadar 'indah khabar dari rupa' semata-mata," tegasnya.
#Datuk Seri Najib Razak #Mukhriz #PPBM #Shaiful Hazizy. Pemuda UMNO Kedah
;