Mukhriz dicabar umum BR1M sebagai dedak - Shaiful

Astro Awani
Februari 27, 2018 14:00 MYT
SHAIFUL: Mukhriz takut hilang undi ataupun bimbang popularitinya merosot.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dicabar untuk mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pada masa yang sama Mukhriz dicabar untuk menyokong kenyataan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menganggap pemberian BR1M dedak kepada rakyat.
"Kenyataan Mukhriz sebelum ini yang menyatakan bahawa pakej pembangunan yang diisytiharkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini kepada rakyat Langkawi adalah 'dedak' sama sekali tidak boleh diterima.
"Rakyat seharusnya menghukum keceluparan dan ketidakmatangan pemimpin tersebut," tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Pengagihan BR1M bermula Isnin
BACA: 'Idea BR1M bukan dari saya tetapi dari Bank Negara' - PM Najib
Mukhriz sebelum ini berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk menyalur peruntukan sehingga RM1.3 bilion kepada warga Langkawi semalam merupakan tindakan terdesak dalam menghadapi pilihanraya.
Bekas Menteri Besar Kedah itu turut menyifatkan pengumuman peruntukan itu sebagai 'dedak'.
Dalam pada itu Shaiful menegaskan keyakinannya Mukhriz tidak berani untuk menyahut cabaran mereka.
"Mukhriz takut hilang undi ataupun bimbang popularitinya merosot. Hakikatnya BR1M diterima baik oleh rakyat dan ianya banyak membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan.
"Rakyat perlu memahami dan menyokong inisiatif ekonomi yang dibawa oleh kerajaan. Kita berpandangan, inisiatif ekonomi ini adalah yang terbaik dan perlu difahami oleh semua.
"Polemik 'dedak' dan 'beli undi' ini adalah semata-mata modal politik murahan parti pembangkang yang mahu terus menerus meracuni minda dan fikiran pengundi," jelasnya.
Pengagihan fasa pertama BR1M pada tahun ini bermula Isnin lepas. Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara dan akan dilakukan dalam tiga fasa.
#BR1M #Mahathir Mohamad #Najib Razak #PPBM #UMNO
;