Mukhriz dicabar tubuh parti dan bertanding di Kedah

Wan Syamsul Amly
Jun 27, 2016 10:31 MYT
SHAIFUL: Ini peluang terbaik Mukhriz membuktikan teori tersebut secara praktikal. - Gambar fail
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mencabar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menubuhkan sebuah parti baru dan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di atas populariti sendiri tanpa bantuan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, saranan itu berdasarkan teori yang sering digembar-gemburkan oleh pihak tertentu bahawa faktor utama kemenangan BN di Kedah pada PRU ke-13 yang lalu disebabkan keyakinan rakyat terhadap populariti Mukhriz dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Bagi Pemuda Kedah, ini peluang terbaik Mukhriz membuktikan teori tersebut secara praktikal. Kita amat yakin dan percaya, kemenangan BN Kedah pada PRU yang lalu adalah disebabkan gerak kerja BN dan UMNO negeri yang penuh persefahaman di samping komitmen tinggi dan kerja kuat segenap jentera dan ahli parti.
"Oleh yang demikian, adalah tidak adil untuk mengatakan Mukhriz adalah faktor utama kemenangan Barisan Nasional di Kedah pada tahun 2013," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.
Muhyiddin dan Mukhriz merupakan antara 18 individu yang berucap dalam majlis 'Deklarasi Mahathir' yang dianjurkan oleh kumpulan menuntut Najib meletakkan jawatan.
Pada Ahad pula, Muhyiddin berkata, satu platform politik baharu perlu diwujudkan untuk menyakinkan rakyat bahawa masih ada harapan untuk negara ini.
Bagaimanapun jelas Muhyiddin, dia memerlukan masa untuk mengkaji keupayaan dan mendapatkan maklum balas bagi mewujudkan platform politik yang boleh diyakini rakyat.
Sementara itu Shaiful pada dasarnya yakin dan percaya suasana politik serta semangat juang ahli parti bertambah selepas pengunduran Mukhriz daripada jawatan menteri besar dan pengerusi perhubungan.
"UMNO Kedah kini sudah kembali mendapat rentak yang sama sewaktu parti kembali merampas pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 2008.
"Kami juga memohon agar PAS tidak membuat sebarang kenyataan yang nyata memperkecilkan diri sendiri. Hakikatnya krisis menteri besar dan penderhakaan beberapa pemimpin UMNO tidak sama sekali menjejaskan sokongan rakyat terhadap kepimpinan yang sedia ada.
"Hakikatnya, PAS Kedah sendiri yang perlu membuat pengupayaan semula selepas perpecahan besar sehingga wujudnya parti Amanah. UMNO Kedah bergerak seperti biasa dan kita mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mengulangi kejayaan pada tahun 2013," jelasnya.
#Dr Mahathir #Kedah #Mukhriz #PAS #Shaiful Hazizy #UMNO
;