Mujahid kekal di Parit Buntar, Hasnul cuba nasib di Titi Serong
Harits Asyraf Hasnan
April 15, 2018 21:30 MYT
April 15, 2018 21:30 MYT
Penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa bakal mengekalkan kerusi tersebut yang dimenanginya sejak dua penggal yang lalu.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi dalam satu majlis di sini petang tadi.
Selain Mujahid, Asmuni turut mengumumkan pencalonan Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong.
Mujahid ketika ditemui Astro AWANI mengakui cabaran yang dilaluinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini tidak sama dengan dua penggal yang lalu.
"Memang kami telah tetapkan cara bekerja kami ialah menumpukan kepada dua segmen iaitu pengundi Cina iaitu sekitar 36 peratus dan pengundi Melayu dalam 66 peratus. Jadi kami menumpukan kerja asas iaitu dengan memfokuskan di kalangan pengundi Cina.
"Dikalangan pengundi Melayu, ia bergantung kepada pencapaian perkhidmatan yang saya telah berkhidmat di sini selama dua penggal.
"Jadi mereka boleh menilai dari sudut interaksi langsung saya dan setelah 10 tahun bersama, mereka adalah 'poket sokongan' yang boleh kita kendalikan dalam suasana kini," katanya selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan dan Pengisytiharan Calon Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain, anak kelahiran Kuala Kangsar yang buat pertama kali bertanding sebagai calon pilihan raya berkata faktor orang luar bukan penentu di Parit Buntar.
"Saya berasal dari Kuala Kangsar dan saya melihat faktor orang luar itu tidak berapa besar kerana saya adalah orang Perak dan saya rasa bertanggungjawab selepas diminta oleh Amanah Parit Buntar menjemput saya, melamar saya untuk bertanding.
"Saya berbincang dengan pimpinan Amanah Perak, maka mereka bersetuju meletakkan saya di sini.
"Saya berkeyakinan, saya boleh andai kata dipilih (sebagai wakil rakyat), saya boleh memberi khidmat yang terbaik kepada penduduk DUN Titi Serong khususnya," katanya.
Spekulasi berlegar di negeri ini mengatakan bahawa kemungkinan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan bakal bertanding di Parlimen Parit Buntar sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#Hasnul Zulkarnain
#kerajaan
#Kuala Kangsar
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Melayu
#Mujahid Yusof Rawa
#Pakatan Harapan
#parit buntar
#Parlimen
#Parti Amanah Negara
#Perak
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU
#PRU14
#Titi Serong