Muhyiddin Yassin dilantik PM ke-8
Astro Awani
Februari 29, 2020 16:39 MYT
Februari 29, 2020 16:39 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Agong.
"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 (Ahad) jam 10.30 pagi di Istana Negara," memetik kenyataan itu.
Ahmad Fadil menambah, Agong bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.
"Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir," katanya.
Baginda pada masa sama turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media.
#Bersatu
#Mahathir letak jawatan
#Malaysia 2020
#Malaysia2020
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri ke-8
#Yang di-Pertuan Agong
#ydp agong