Muhyiddin tidak hadir Mesyuarat MT UMNO
Hafiz Marzukhi
November 24, 2015 18:38 MYT
November 24, 2015 18:38 MYT
Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin didapati tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada petang ini yang bermula sekitar jam 6 petang tadi.
Menurut sumber yang rapat dengan beliau, Muhyiddin kini berada di luar negara.
"Ya. Tan Sri (Muhyiddin) tidak hadir," kata sumber melalui pesanan Whatsapp kepada Astro AWANI.
Sementara itu, tiga ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dilantik, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin juga tidak hadir untuk mesyuarat petang ini.
Apabila dihubungi, setiausaha akhbar Khaled, Asrib Khalbi berkata Khaled tidak diwajibkan untuk hadir mesyuarat tersebut.
"Oleh itu, saya percaya tidak timbul apa-apa isu mengenai ketidakhadirannya," jelas beliau.
Selain mereka, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal juga tidak hadir kerana sedang menjalani ibadah umrah.