Muhyiddin tidak dilucutkan jawatan, hanya digantung - Peguam UMNO

Dania Zainuddin
Mac 4, 2016 11:58 MYT
Peguam UMNO, Mohd Hafarizam menjelaskan Muhyiddin tidak dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO sebalik hanya digantung sehingga Pemilihan Agung UMNO diadakan. - Gambar Fail
Peguam UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menjelaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO sebalik hanya digantung sehingga Pemilihan Agung UMNO diadakan.
Mohd Hafarizam menegaskan perkara yang dibangkit Ketua Bahagian UMNO Pagoh itu tidak terangkum dalam keputusan Majlis Tertinggi (MT) pada 26 Februari lalu.
BACA: Gantung jawatan: Majlis Tertinggi ikut prosedur
BACA: Muhyiddin, nilailah semula sementara peluang masih ada - Annuar Musa
Jelasnya lagi, penggunaan perkataan pelucutan berbeza dari segi maksud serta kesannya selepas MT mengambil pendekatan dan mengumumkan jawatan Timbalan Presiden UMNO yang disandang Muhyiddin digantung.
"Dalam konteks UMNO, untuk dilucutkan mana-mana ahli MT perlu dibawa ke Perhimpunan Agung Khas.
"Dalam kes menggantungkan jawatan, apa yang dicapai oleh MT pada Jumaat lalui (26 Februari 2016) adalah lebih kepada kuasa sedia atau lebihan MT UMNO dibawah fasal 10.15 Perlembagaan UMNO," katanya dalam satu temubuat bersama Astro AWANI di sini, hari ini.
Menurut Mohd Hafarizam, kuasa sedia ada atau lebihan bermaksud, kuasa yang walaupun tidak termaktub dalam fasal 10 perlembagaan UMNO atau tugas-tugas ahli MT, namun fasal 10.15 menggunakan pengambilan apa jua langkah bagi kesempurnaan parti.
BACA: Keputusan Muhyiddin kekal dalam UMNO sudah dijangka
BACA: Jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO digantung serta-merta
Beliau berkata, fasal 10.15 adalah satu fasal yang menyeluruh dan MT menggunakan kuasanya bagi membuat keputusan.
Mengulas keputusan Muhyiddin untuk merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung penggantungannya, Mohd Hafarizam berkata, Muhyiddin mempunyai ruang dan hak untuk membawa perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi.
"Seperti yang sudah dikatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, RoS hanya ada kuasa untuk menentukan sekiranya ada pertikaian di kalangan ahli.
"Dalam kes ini, saya akan tunggu dan lihat keputusan yang akan diambil oleh RoS apabila Muhyiddin sudah membuat aduan rasmi. Ketika ini saya tidak mahu mendahului RoS sebelum sebarang keputusan diambil oleh jabatan itu," katanya.
Pada Khamis, Muhyiddin menerusi sidang media memaklumkan beliau akan merujuk kepada RoS berhubung penggantungannya daripada jawatan timbalan presiden UMNO; dengan menyifatkan tindakan itu tidak mengikut prosedur yang betul.
Pada 26 Februari lalu, Mesyuarat MT UMNO sebulat suara bersetuju menggantung jawatan Timbalan Presiden UMNO atas sebab Muhyiddin tidak menjalankan kewajipan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan UMNO dalam membantu presiden parti.
#Datuk Mohd Hafarizam Harun #Muhyiddin Yassin #UMNO
;