Muhyiddin tiada jumlah cukup jadi PM, 10 MP tandatangan dua SD - Ahmad Zahid

Bernama
Ogos 22, 2024 14:12 MYT
Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu berkata Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sendiri menjadi "saksi hidup" kepada perkara itu. - foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak pernah memiliki sokongan Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menjadi perdana menteri sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada 115 SD yang didakwa dimiliki Muhyiddin, 10 daripada Ahli Parlimen telah menandatangani dua SD, iaitu satu yang menyokong PN dan satu lagi menyokong BN.
Presiden UMNO itu berkata Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sendiri menjadi "saksi hidup" kepada perkara itu.
"115 SD yang dikatakan itu termasuk 10 SD daripada Ahli Parlimen yang menandatangani dua SD, dengan BN dan satu lagi dengan mereka (PN). Oleh itu, jumlah sebenarnya hanya 105 SD sahaja dan 105 tidak cukup untuk membentuk kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Laman Media yang menempatkan kira-kira 500 petugas media yang membuat liputan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024.
Muhyiddin, ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini mendakwa beliau memiliki 115 SD selepas PRU15 dan menyatakan bahawa jumlah itu cukup untuk beliau menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin turut mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk ke Istana Negara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Ahmad Zahid berkata setiap calon Ahli Parlimen BN pada ketika itu, turut menandatangani tiga dokumen di hadapan pesuruhjaya sumpah, disertai dengan rakaman video.
Katanya dokumen pertama adalah menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Pengerusi BN untuk membentuk kerajaan, mewujudkan kerajaan campuran, atau mengambil tindakan ke arah pembentukan kerajaan.
"Kedua, menandatangani dokumen yang menyatakan bahawa kerusi yang dimenangi itu adalah kepunyaan parti dan bukan individu. Ketiga, jika mereka keluar parti atau sokong pihak lain, mereka mesti bayar penalti sebanyak RM100 juta," katanya.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #PAU 2024 #Muhyiddin Yassin tidak cukup akuan bersumpah #Barisan Nasional